Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Pengendali baru Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah terus kempunan melakar kemenangan bersama The Red Warriors (TRW) apabila terikat 1-1 menentang Sime Darby FC malam tadi.

Selepas dilantik menggantikan George Boateng, Kelantan tewas aksi pertama di bawah kendalian Azraai ketika menentang Terengganu dalam aksi Liga Super, Sabtu lalu.

Aksi kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi pula menyaksikan Kelantan gagal mengatasi Sime Darby pada aksi suku akhir pertama Piala FA.

Ternyata Sime Darby kendalian Ismail Zakaria lebih menyerlah apabila kerap menguji kubu pelawat yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.

Namun tuan rumah dihampakan dengan penyudah tumpul dan palang gol walaupun menguasai perlawanan terutamanya pada babak kedua.

Bagaimanapun Kelantan yang diiringi 5,000 penyokong terlebih dulu membuka jaringan menerusi Erwin Carillo (gambar) pada minit ke-45 selepas kesilapan dilakukan pemain tuan rumah.

Kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Nemanja Vidakovic menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila tandukannya menyaksikan Khairul Fahmi hanya sekadar terpaku.

Selepas rehat, tuan rumah terus rancak melancarkan serangan ketika Kelantan terus tenggelam.

Sime Darby berpeluang menambah gol kedua menerusi Marko Perovic pada minit ke-69 namun percubaannya menggegar palang.

Keputusan seri itu bagaimanapun membolehkan Kelantan mempunyai kelebihan gol tempat lawan apabila aksi timbal balik berlangsung di Kota Bharu pada 21 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 9:26 AM