PENYUDAH Carrillo ditagih robek gawang Sime Darby.
PENYUDAH Carrillo ditagih robek gawang Sime Darby.
Oleh Azlan Hafeedz


Kota Bharu: “Dia mungkin diturunkan dan saya kini ada lebih pilihan untuk menggandingkannya dengan penyerang lain,” ulas pengendali Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah mengenai penyerang import, Erwin Carillo.

Erwin atau nama penuhnya Erwin Albeiro Carillo Fragozo, 32, sebelum ini direhatkan kerana kecederaan buku lali ketika The Red Warriors tewas kepada Terengganu dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu.

Kekalahan itu juga menyebabkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) membuat penilaian serius terhadap kedudukan semua pemain import dan berkemungkinan besar menggantikan mereka yang gagal menyerlah.

Antara nama dalam pemerhatian ialah Emmanuel Kenmogne dan Pupo Isaac Tuku yang dibawa masuk dari Kelab Persijaya, Surabaya, Indonesia.

Azraai turut meluahkan kekesalan atas prestasi hambar kedua-dua dua import itu yang disifatkan tidak bermain secara profesional apabila aksi pemain tempatan lebih menyerlah daripada mereka.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pengambilan pemain import berkualiti untuk menggantikan muka lama dan perbincangan itu akan diputuskan selepas perlawanan menentang Sime Darby bagi aksi suku akhir pertama Piala FA, malam ini.

“Saya mahu pemain bangkit untuk perlawanan malam ini dan lupakan kekalahan lalu. Kami perlu teruskan perjuangan dengan misi utama meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini,” katanya.

Menurutnya walaupun berstatus kelab, Sime Darby tidak boleh dipandang remeh kerana mereka juga memiliki pemain berpengalaman seperti Mohd Nizad Ayub, Mohd Firdaus Azizul, Yosri Derma Raju, Nemanja Vidakovic, Marko Perovic dan Ivan Dragicevic.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 7:41 AM