Oleh Aziman Rosdi

Selayang: Sime Darby FC meneruskan misi mustahil untuk terus kekal dalam Liga Super apabila seri 1-1 dengan Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.

Walaupun gagal dalam misi memburu kemenangan pertama sepanjang 19 perlawanan liga, skuad kendalian Ismail Zakaria itu kini mengumpul enam mata dan perlu menang baki tiga perlawanan sambil mengharapkan Sarawak tumpas dalam semua perlawanan terakhir.

Bertemu Sarawak yang turut mahu mengelak daripada tersingkir ke Liga Perdana, Sime Darby terlebih dulu mencipta peluang pada minit ke-24, namun penyerang tuan rumah Marko Perovic gagal menyempurnakan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Sarawak Mohamad Fadzley Abdul Rahim.

Pasukan pelawat yang dibimbing Fuad Grbesic menyentap semangat Sime Darby menerusi gol penyerang import Billy Mehmet pada minit ke-41.

Kedudukan berubah pada babak kedua apabila Sime Darby berjaya mengikat 1-1 hasil percubaan Perovic dalam kotak penalti pada minit ke-75.

Walaupun kedua-dua pasukan saling menyerang untuk memburu kemenangan, mereka terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata di akhir permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 9:02 AM