ISMAIL (kanan) bersama tiga pemain import baru pasukan Sime Darby.
ISMAIL (kanan) bersama tiga pemain import baru pasukan Sime Darby.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Trio Serbia menjadi taruhan Sime Darby FC untuk mengharungi cabaran getir Liga Malaysia musim depan.

Skuad kendalian Ismail Zakaria mendapat tiga pemain import baru - Ivan Dragicevic (pertahanan), Nemanja Vidakovic (penyerang) dan Marko Perovic (pemain tengah menyerang) - selain mengekalkan pemain tengah dari Uzbekistan, Dilshod Sharofetdinov dengan sasaran untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok enam pasukan teratas Liga Super dan melangkah ke saingan separuh akhir Piala Malaysia atau FA.

Perovic hadir dengan reputasi tinggi apabila pernah beraksi untuk kelab Switzerland, FC Basel dan tampil di Liga Juara-Juara Eropah pada musim 2008-09.

“Setakat ini saya gembira dengan perkembangan tiga pemain import baru. Mereka nampaknya memberikan komitmen tinggi dalam sesi latihan dan persahabatan selain mudah serasi dengan pemain tempatan. Saya harapkan ia berterusan dan mampu menyumbang kepada pasukan,” kata Ismail.

SDFC yang mengekalkan 17 pemain musim lalu turut mendapat beberapa pemain berpengalaman tempatan seperti Halim Zainal, Eddy Helmi Abd Manan, Tengku Qayyum Tengku Ubaidillah Ahmad, Alif Samsudin, Firdaus Azizul dan Nizad Ayub.

“Kami memulakan sesi latihan sejak hujung bulan lalu dan sepatutnya kami sudah mengadakan aksi pramusim di Thailand minggu depan namun terpaksa ditangguhkan kerana perubahan tarikh Liga Super yang dijadualkan bermula Februari ini.

“Jadi saya akan mengadakan beberapa aksi persahabatan dalam negara dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan pemain mencapai tahap kemuncak terlalu awal selepas Liga Super ditunda,” katanya.

Sime Darby melakar kejutan musim lalu apabila menamatkan saingan pada kedudukan kelima Liga Super namun tersingkir awal pada saingan Piala FA dan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:07 AM