Kota Bharu: Pengendali Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah mengingatkan pemainnya supaya tidak terlalu yakin ketika menentang Sime Darby FC dalam pertemuan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Walaupun Kelantan memiliki kelebihan jaringan tempat lawan, kedudukan itu masih belum terjamin kerana Sime Darby mampu bangkit sekalipun beraksi di gelanggang lawan.

Azraai berkata, berdasarkan pencapaian Sime Darby setakat ini, anak didik Ismail Zakaria itu mampu menjinakkan pasukan berstatus gergasi.

Katanya, walaupun berstatus kelab, Sime Darby masih memiliki beberapa pemain tempatan dan import berbahaya seperti Mohd Nizad Ayub, Mohd Firdaus Azizul, Yosri Derma Raju, Nemanja Vidakovic, Marko Perovic dan Ivan Dragicevic.

“Jika tidak mahu kalah, tiga rangkaian import Nemanja, Marko dan Ivan perlu diawasi dan pergerakan mereka dirantai.

“Gol awal menjadi sasaran kami bagi membangkitkan semangat pemain,” katanya selepas tamat sesi latihan.

Pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 7 April lalu, Kelantan hanya seri 1-1 dengan Sime Darby menerusi jaringan import Erwin Carillo.

Azraai berkata, walaupun pemain pertahanan Jonathan McKain masih 50-50 untuk diturunkan akibat cedera, dia percaya Zairul Fitree Ishak atau Ropy mampu menggalas tanggungjawab itu.

“Khairul Fahmi (Che Mat) mungkin menjadi penjaga gol utama kerana pertemuan ini penting buat kami meraih sekurang-kurangnya satu piala, musim ini,” katanya.

Mengenai dua pemain import baru, Azraai berkata, Amutu dan De Santos akan diturunkan dan bergandingan dengan Carillo.

“Kecederaan Carillo semakin pulih bagi membolehkannya beraksi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 8:15 AM