MILITAN Huthi dan penduduk tempatan berkumpul di runtuhan rumah yang musnah  dibedil pesawat pejuang Arab Saudi di Sanaa, Yaman semalam.
MILITAN Huthi dan penduduk tempatan berkumpul di runtuhan rumah yang musnah dibedil pesawat pejuang Arab Saudi di Sanaa, Yaman semalam.
AP

Sanaa: Tentera udara Arab Saudi melancarkan serangan udara terhadap kedudukan militan Huthi Syiah di Yaman semalam selepas kumpulan itu menawan sebuah bandar di negara berkenaan.

Kumpulan itu menawan sebahagian Aden menyebabkan Presiden Yaman, Abed Rabbo Mansour Hadi yang berlindung di bandar itu melarikan diri melalui jalan laut.

Agensi berita Al-Arabiya News melaporkan bahawa, Arab Saudi menghantar 100 jet pejuang, 150,000 askar dan unit tentera laut ke sempadan Yaman.

Stesen televisyen Al-Hadath TV turut memaparkan rakaman video serangan udara itu.

Katanya, Arab Saudi bekerjasama rapat dengan Washington dan sekutu lain tetapi menegaskan bahawa tentera AS tidak terbabit dalam serangan itu.

White House dalam satu kenyataan memberitahu bahawa AS memberi sokongan ketenteraan dan perisikan kepada Arab Saudi tetapi tidak terbabit secara langsung dalam serangan berkenaan.

Emiriyah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar dan Bahrain dilaporkan turut menyertai operasi ketenteraan yang diketuai Arab Saudi itu.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Agensi Berita Saudi, negara sekutu itu berkata, mereka melancarkan operasi itu atas permintaan Abed Rabbo yang meminta mereka melindungi Yaman dan rakyatnya.

Mesir turut mengumumkan sokongan politik dan ketenteraan terhadap operasi Arab Saudi itu.

Agensi Berita Saudi turut melaporkan empat lagi negara iaitu Pakistan, Jordan, Maghribi dan Sudan turut bersetuju untuk menyertai operasi berkenaan.

Pegawai di Yaman berkata, serangan udara Arab Saudi berkenaan menyasarkan sebuah pangkalan tentera yang kini dikuasai askar yang setia pada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh.

“Serangan berkenaan turut menyasarkan tapak peluru berpandu di Sanaa dan sebuah depoh simpanan minyak,” katanya.

Militan Huthi berkata, jet Arab Saudi menyerang sebuah pangkalan tentera dan mereka membalas dengan melancarkan peluru berpandu antipesawat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 8:39 AM