Pejuang yang setia kepada presiden dalam buangan, Abed Rabbo Mansour Hadi mengawal sebuah kawasan di wilayah Taiz selepas hampir menguasai wilayah ketiga terbesar di Yaman itu.
Pejuang yang setia kepada presiden dalam buangan, Abed Rabbo Mansour Hadi mengawal sebuah kawasan di wilayah Taiz selepas hampir menguasai wilayah ketiga terbesar di Yaman itu.
Reuters

Sanaa: Unit tentera Yaman yang bersekutu dengan pemberontak Houthi semalam melepaskan tembakan peluru berpandu balistik ke arah selatan Arab Saudi, lapor rangkaian televisyen kumpulan berkenaan, ketika pertempuran antara kedua-dua pihak semakin meningkat.

TV Al Maseera yang dikendalikan Houthi melaporkan di Twitter: “Tentera Yaman menembak peluru berpandu balistik Scud ke arah Jizan.”

Penduduk di ibu negara Sanaa melaporkan terdengar deruan kuat ketika peluru berpandu itu dilancarkan berhampiran bandar berkenaan diikuti serangan udara diketuai Arab Saudi terhadap istana presiden dan tempat simpanan roket tentera.

Arab Saudi mengetuai campur tangan ketenteraan terhadap Houthi sejak 26 Mac lalu untuk mengembalikan kerajaan Yaman yang digulingkan pemberontak terbabit seterusnya menghalang penyebaran pengaruh Iran yang dianggap sekutu terkuat kumpulan berkenaan.

Houthi pula mendakwa mereka memberontak kerana menentang pegawai kerajaan yang rasuah dan terhutang budi dengan Arab Saudi serta Barat.

Peluru berpandu Scud dilancarkan terhadap Arab Saudi oleh tentera Yaman dua kali sepanjang perang lima bulan itu, tetapi ditembak jatuh oleh peluru berpandu Patriot yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat (AS) kepada Saudi.

Dua askar Saudi dan seorang pegawai berpangkat brigadier jeneral terbunuh beberapa hari lalu dalam pertempuran di sempadan kedua-dua negara itu.

Agensi berita Yaman, Saba yang dikuasai Houthi melaporkan, kelmarin saja sebanyak 100 serangan udara dilancarkan pesawat pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi, menyasarkan pangkalan utama kumpulan itu di Saada.

Laporan itu bagaimanapun tidak dapat disahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 7:36 AM