BARISAN peserta Ceria Popstar musim kedua menghiburkan pengunjung.
BARISAN peserta Ceria Popstar musim kedua menghiburkan pengunjung.
PEMINAT cilik teruja dengan karakter idola mereka, Doraemon.
PEMINAT cilik teruja dengan karakter idola mereka, Doraemon.
Syanty Octavia Amry


Bagi menceriakan musim cuti sekolah kali ini, Astro Ceria membawakan slot istimewa dengan menyiarkan program animasi terbaik dan terhangat dari Jepun iaitu Sushi Ceria.

Mula ditayangkan sejak November lalu, antara programnya ialah Chibi Maruko Chan musim kedua, Ultra Galaxy Monster, Doraemon Stand By Me, Hagemaru, Ninja Boy, Ninja Hattori dan Ultraman Series.

Ia menemui penonton setiap Isnin hingga Ahad selama sejam bermula jam 2 petang.

Sempena pelancarannya, Astro Ceria turut membawa tiga watak ikonik dari Jepun iaitu Doraemon, Ultraman Victory dan Ultraman Ginga ke Malaysia, baru-baru ini, untuk rangka promosi.

Watak terbabit dibawa untuk sesi ramah mesra bersama peminat di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan parti eksklusif bersama pelanggan setia Astro.

Diberi peluang menjadi jurucakap untuk slot Sushi Ceria, Erissa Puteri Hashim, 12, mengakui teruja kerana turut berpeluang bertemu Ultraman dan Doraemon.

“Ini adalah siri promosi program Sushi Ceria yang baru diperkenalkan di Astro Ceria. Selain dapat mengikuti siri promosi ini, saya juga diberi peluang meminjamkan suara untuk siri Chibi Maruko Chan.

“Satu pengalaman baru buat saya apabila dapat meminjamkan suara untuk program yang popular dalam kalangan kanak-kanak ketika ini.

“Saya juga seronok dapat bertemu pelbagai watak dan melihat gelagat rakan-rakan sebaya yang teruja dapat berjumpa Ultraman dan Doraemon,” kata peserta Ceria Popstar musim kedua ini.

Bagi Muhammad Fikry Izzudin Mohd Fuad, 11, pula, dia yang baru pertama kali menyertai program seumpama ini turut teruja.

“Saya adalah peminat setia Doraemon sejak berusia 8 tahun. Boleh dikatakan semua siri Doraemon saya ikuti.

“Apabila diberi peluang menjayakan promosi ini dan dapat bertemu Doraemon, pastinya rasa sangat seronok.

“Kalau boleh apa juga siri promosi seumpama ini saya mahu sertai pada masa akan datang,” katanya.

Menariknya untuk siri promosi kali ini, Ultraman Victory dan Ultraman Ginga turut meluangkan masa melawat pesakit di wad kanak-kanak Hospital Putrajaya pada 25 November lalu.

Kehadiran mereka dengan harapan dapat menceriakan serta mengukir senyuman dalam kalangan pesakit kanak-kanak di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 8:44 AM