KESUNGGUHAN Power Rangers menentang musuh dipertontonkan secara langsung kepada penonton.
KESUNGGUHAN Power Rangers menentang musuh dipertontonkan secara langsung kepada penonton.

Pertempuran antara Fury, Poisandra dan pengikut mereka bersama pahlawan terpilih Power Rangers Dino Charge cukup mendebarkan.

Aksi penuh bertenaga ditambah dengan pencahayaan dan audio hebat menjadikan semua yang menonton ketika itu sama ada kanak-kanak atau orang dewasa tidak berganjak sedikit pun.

Tidak mahu membazirkan setiap minit sepanjang sejam itu, kesungguhan sang penjahat merancang mendapatkan apa yang dihajati manakala keberanian pahlawan terulung membanteras kejahatan dipersembahkan secara langsung.

Itulah keistimewaan saat menyaksikan sendiri pertempuran hebat yang sedang berlangsung di Genting International Showroom menerusi Power Rangers Live in Genting 2016.

Buat kali pertamanya di Malaysia, peminat Power Rangers berpeluang melihat aksi sekumpulan lima adiwira menentang musuh di Resort World Genting.

Power Rangers Live in Genting 2016 ialah persembahan secara langsung yang pertama di Asia Tenggara dan persembahan kali pertama Dino Charge di dunia.

Memulakan pertunjukan dari 28 Mei lalu hingga 26 Jun ini, pertunjukan satu jam di Genting International Showroom ini cukup mengujakan dan membariskan pelakon dan kru dari dua negara iaitu Jepun dan Malaysia.

Persembahan itu menampilkan semua watak popular Dino Charge iaitu Merah, Hijau, Merah Jambu, Hitam dan Biru manakala Mighty Morphin terdiri daripada Merah, Merah Jambu, Biru, Kuning dan Hitam.

Persembahan penuh aksi ini pasti tidak lengkap tanpa penjahat yang sentiasa membuat kekacauan iaitu Fury, Poisandra, The Lesser Baddies Aliens dan Vivix.

Menampilkan 48 per­sembahan hingga 26 Jun ini, anda berpeluang menyaksikan sendiri Power Rangers Live in Genting 2016 dua kali sehari iaitu pada jam 4 petang dan 9 malam.

Dijayakan 25 pelakon dan kru dari Jepun bekerjasama dengan 15 pelakon dan kru dari Malaysia, persembahan pertempuran sangat hebat.

Ia berdasarkan dua siri televisyen Power Rangers iaitu Mighty Morphin Power Rangers dan Dino Charge. Power Pangers Live in Genting 2016 mengisahkan pertempuran antara Power Rangers dengan tentera Slidge yang ingin merebut kuasa ajaib Energem yang memegang kuasa kebal.

Power Rangers adalah lima pahlawan yang dipilih Energem untuk melindungi bumi bagi mengelakkan jatuh ke tangan orang jahat.

Bagi mendapatkan Energem itu, Fury, Poisandra dan pengikutnya menangkap Power Rangers Merah Jambu dan berjaya memperoleh Energem.

Power Rangers yang lainnya perlu membebaskan Merah Jambu dan mendapatkan kembali Energem yang sudah jatuh ke tangan orang jahat.

Pertempuran demi pertempuran dilakukan, nyata Power Rangers Dino Charge berdepan masalah untuk menentang Fury, Poisandra dan askarnya kerana Energem ada di tangan mereka.

Tatkala Merah Jambu menyeru penonton melaungkan ‘Power Rangers’, masing-masing bagaikan tidak menduga Mighty Morphin Power Rangers muncul dan membantu Dino Charge menentang musuh.

Selesai persembahan, penonton berpeluang me­ngabadikan kenangan dengan bergambar bersama Power Rangers.

Pahlawan kesukaan ramai ini juga akan menemui peminat di lokasi tertentu antara 10 pagi dan 7.30 malam di Time Square Stage, Lobi Genting Grand, kawasan Show Room Genting Internarional dan Universal Walk.

Sementara itu, peminat tegar Mohd Ameerul Zaid, 30, berkata, berpeluang menyaksikan Power Rangers Live in Genting 2016 sesuatu yang cukup mengagumkan.

Dia bersyukur kerana berpeluang menyaksikan sendiri persembahan Power Rangers secara langsung.

“Saya mengetahui Power Rangers Live in Genting ketika berada di atas kapal dan sudah menyimpan hasrat menyaksikannya bersama isteri.

“Alhamdulillah, tarikh persembahan ini sama dengan waktu cuti saya dan ia peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan,” katanya.

Ditanya mengenai keseluruhan persembahan dan perbezaan antara dua generasi Power Rangers ini, Mighty Morphin dan Dino Charge, kata Ameerul ia sememangnya cukup menakjubkan.

“Penceritaan yang diketengahkan dan aksi yang dipertontonkan sepanjang persembahan cukup bertenaga.

“Walaupun menampilkan dua Power Rangers berlainan, pengajaran yang disampaikan iaitu membantu membanteras kejahatan tetap sama.

“Kehadiran Mighty Morphin Power Rangers, iaitu Power Rangers ketika zaman saya kecil juga mengujakan sehinggakan saya menggigil dan tidak dapat mengambil gambar,” katanya.

Berlangsung sehingga 26 Jun ini, tiket Power Rangers Live in Genting 2016 di jual pada harga RM108 (Vip), RM88 (PS1) dan RM68 (PS2). Potongan 10 peratus di berikan kepada pemegang kad keahlian Genting Rewards. - Suliati Asri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 1:17 PM