AZMIL (kanan) menunjukkan kios AR Azmil Sotong Raja.
AZMIL (kanan) menunjukkan kios AR Azmil Sotong Raja.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: AR Azmil Sotong Raja membuka peluang kepada usahawan yang ingin menyuntik kelainan dalam produk yang ditawarkan dengan memperkenalkan produk berasaskan sotong.

Pengasasnya, Azmil Ramli berkata, kebanyakan peniaga kecil-kecilan khususnya yang menjalankan perniagaan di pasar malam memilih produk berasaskan ayam sebagai produk utama, namun lambakan peniaga menawarkan produk sama menjadikan pasaran semakin mengecil.

"Kebanyakan peniaga di pasar malam menjual produk berasaskan ayam dan kami memberi peluang kepada peniaga untuk mencuba produk berasaskan sotong kerana produk ini juga mempunyai peminat tersendiri," katanya, semalam.

Menurutnya, pihaknya memperkenalkan konsep kios dengan modal serendah RM2,800 yang disertakan dengan semua kelengkapan.

"Untuk konsep kios ini peniaga hanya perlu mengeluarkan modal sebanyak RM2,800 dan mereka boleh memulakan operasi tanpa sebarang masalah kerana ia turut dilengkapi semua peralatan untuk berniaga.

"Malah, kami juga akan menawarkan stok sotong pada harga lebih rendah untuk peniaga dengan kadar keuntungan sekitar RM2.60 bagi setiap sotong yang dijual," katanya.

Menurutnya, setiap pek produk dijual pada harga RM7 dan kebiasaannya peniaga mampu menjual sehingga 300 pek sotong sehari.

"Sotong ini akan disalut dengan tepung khas sebelum digoreng hingga rangup dan ia juga akan ditabur dengan perasa yang dikehendaki pelanggan.

"Kebanyakan peniaga tidak mempunyai masalah untuk menjual produk ini dan kami juga meletakkan jaminan stok bahan mentah melalui stokis yang terdapat di seluruh negara," katanya.

Menurutnya, pihaknya meletakkan sasaran untuk mencapai jualan sehingga RM1.8 juta dalam tempoh setahun dengan jumlah 60 kios di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:02 AM