Indian Wells, United States: Tiada apa yang mudah datang kepada Serena Williams (gambar) apabila dia berada di Indian Wells namun sekurang-kurang dia dapat menewaskan musuhnya dan meraih kemenangan pertama dalam tempoh 14 tahun sepanjang kariernya, awal pagi semalam.

Pemain Amerika berusia 33 tahun itu membuat kemunculan semula dengan penuh emosi di venue yang sama ketika bersumpah untuk tidak mahu kembali ke gelanggang itu, menewaskan pemain Romania Monica Niculescu 7-5, 7-5 pada perlawanan pusingan kedua yang memakan masa dua jam tiga minit

“Ia sesuatu kepulangan yang berbaloi dan kembali semula ke gelanggang ini dan mencipta kenangan baru,” kata Serena.

Pemain nombor satu dunia itu berkata, dia mengalirkan air mata ketika melangkah memasuki gelanggang Jumaat lalu selepas begitu lama menunggu untuk kembali ke situ.

“Pada hari itu dan pada minggu sebelumnya biarpun ia hanya satu reaksi, saya sebenarnya berasa sedikit gusar.

“Namun sebelum perlawanan bermula, ketika saya memanaskan badan dan dalam keadaan suasana perlawanan, waktu itu saya tidak begitu memikirkannya sehinggalah saya berjalan keluar memasuki gelanggang. Saya berasa seperti “Oh ia sudah berlaku,” katanya.

Biarpun pertandingan baru memasuki saingan pusingan kedua ketika itu, 16,000 penonton hadir membanjiri stadium berdiri dan memberi tepukan gemuruh ketika melihat Serena berjalan memasuki gelanggang.

Serena terus mendapat sokongan dengan tepukan gemuruh sebagai perangsang kepada pemain itu biarpun melakukan unforced error.

Namun reaksi positif yang diterima itu sebenarnya mendorong Serena membuat keputusan untuk berdamai selepas 14 tahun memboikot kejohanan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:03 AM