Miami, AS: Serena Williams mengetepikan masalah kecederaan lutut dan menang 6-3, 6-1 ke atas pemain Romania, Monica Niculescu pada Terbuka Miami di Key Biscayne tetapi pilihan keenam Eugenie Bouchard dikejutkan pemain tidak ternama dari Jerman, Tatjana Maria.

Serena menarik diri daripada aksi separuh akhir di Indian Wells minggu lalu akibat masalah lutut dan ketika tiba di Miami, dia berkata aksi di Key Biscayne memerlukan dia lebih bijak menangani kesakitan itu.

Meskipun bermain dalam keadaan tidak cergas 100 peratus, pemenang Grand Slam 19 kali itu ternyata bukan saingan buat Monica yang menduduki ranking ke-70 dunia.

Monica menggunakan sepenuhnya pengalaman selain mengajak Serena bermain rali panjang namun ia masih belum cukup untuk mengalahkan pemain nombor satu dunia itu.

Serena berkata, kesakitan di lututnya tidak begitu mengganggu keadaannya setakat ini.

“Saya tidak berasa sakit di bahagian lutut,” kata Serena. “Sebaik melangkah ke gelanggang, rasa yang selama ini mengganggu terus hilang sebaliknya saya lebih bersemangat. Itu sedikit menghairankan.”

Perlawanan itu sepatutnya dilangsungkan Jumaat lalu namun ditangguhkan kelmarin berikutan ribut petir di selatan Florida sekali gus bermakna Serena tidak dapat berehat lebih lama sebelum menentang rakan senegaranya, Catherine Bellis.

Eugenie tewas 0-6, 6-7 (4/7) kepada Tatjana. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 5:14 AM