VENUS ingin ikut contoh adiknya, Serena.  - FOTO EPA-EFE
VENUS ingin ikut contoh adiknya, Serena. - FOTO EPA-EFE
Reuters

VENUS Williams berkata, dia mengimpikan untuk mengikut jejak adiknya, Serena dengan mempunyai anak satu hari nanti.

“Saya harap dapat merasai pengalaman sebegitu nanti,” kata Venus, 37 tahun.

“Dia melakukan apa saja untuk bayinya. Selain itu, dia tetap Serena yang dulu.

“Jika perkara sama berlaku kepada saya (memiliki anak) saya sudah mempunyai contoh terbaik untuk diikuti.”

Minggu ini, Serena akan kembali ke Jelajah WTA, 190 hari selepas melahirkan bayinya, Alexis.

Dua beradik itu akan bersaing di kejohanan WTA Indian Wells dan selepas diletakkan di dalam balang undian sama, bermakna kedua-dua mungkin bertemu di pusingan ketiga.

Serena, 36, perlu melepasi pusingan pertama menentang pemain ranking ke-53 dunia, Zarina Diyas dan pilihan ke-29, Kiki Bertens.

Venus yang juga pilihan kelapan, mendapat bye di pusingan pertama dan akan menentang sama ada pemain kelayakan, Monica Niculescu atau Sorana Cirstea di pusingan kedua.

Venus dan Serena memilih untuk bertemu di final. Jika ditanya kepada Venus, sudah tentu dia enggan menentang Serena di peringkat awal kejohanan berkenaan.

“Saya seboleh-bolehnya tidak mahu memikirkan soal itu,” kata Venus. “Jika saya terus bermain seperti biasa, saya mungkin boleh menang.”

Venus melangkah ke final Wimbledon tahun lalu di mana dia ditewaskan juara, Garbine Muguruza 7-5, 6-0.

Dia turut mara ke final Terbuka Australia serta suku akhir di Rome serta WTA Indian Wells.

Venus membesar di kawasan luar bandar Los Angeles, Compton yang terletak hanya beberapa jam pemanduan dari Indian Wells.

“Kejohanan ini besar maknanya buat saya,” katanya mengenai Indian Wells. “Saya tidak kerap menyertai pertandingan di negara ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 9:39 AM