HO WIE (kiri) Ho Race (kanan). -FOTO Ng Chee Kean
HO WIE (kiri) Ho Race (kanan). -FOTO Ng Chee Kean
BERNAMA

Kuala lumpur: Lumrah seorang bapa pastinya mahukan terbaik buat anak mereka seawal usia muda dalam apa jua bidang diceburi dan ia tidak ketinggalan bagi Ng Chee Kean apabila turut sama meluangkan masa melatih dua anak lelaki Ng Ho Race, 8, dan Ng Ho Wie, 9, dengan bola sepak.

Chee Kean, 45, berkata beliau mula memberi pendedahan tentang sukan bola sepak kepada kedua-dua anaknya ketika berusia empat dah lima tahun sejak seluruh negara dilanda Covid-19 pada 2020 sebagai mengisi masa terluang biarpun tidak mempunyai sebarang ilmu.

"Biasalah semasa mereka kecil ibu-bapa biasanya kita akan libatkan dengan aktiviti dan bola sepak menjadi pilihan itu.

"Saya bukanlah bekas pemain tapi banyak bertanya kepada ramai orang berpengalaman termasuk daripada beberapa akademi bola sepak cara melatih kedua-dua anak saya," katanya ketika dihubungi Bernama sempena sambutan Hari Bapa hari ini.

Chee Kean yang berasal dari Puchong, Selangor, berkata beliau menghabiskan lebih RM1,000 setiap bulan untuk melatih Ho Race dan Ho Wie selain turut menghantar mereka ke Sekolah Bola Sepak Selangor FC bagi tujuan mengasah bakat.

"Mereka dalam masa sama dilatih sekurang-kurangnya sejam setiap hari selepas pulang dari sekolah pada waktu petang dengan saya," katanya.

Beliau dalam masa sama berharap bakat kedua-dua anaknya itu bakal menjadi pemangkin kepada kejayaan mewakili skuad bola sepak negeri Selangor tempat kelahiran mereka.

"Mereka masih kecil tapi sudah tentu harapan saya untuk mereka mewakili negeri mereka ataupun skuad negara pada satu hari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 9:38 PM