NAOMI Osaka ketika membalas bola pukulan Serena Williams pada pusingan pertama Terbuka Miami, sebentar tadi. - Foto EPA
NAOMI Osaka ketika membalas bola pukulan Serena Williams pada pusingan pertama Terbuka Miami, sebentar tadi. - Foto EPA

JUARA Indian Wells, Naomi Osaka menewaskan juara 23 kali grand slam Serena Williams 6-3 6-2 pada pusingan pertama Terbuka Miami, kemenangan besar terbaru dicatat bintang 20 tahun dari Jepun itu.

Ia adalah pertemuan pertama antara kedua-dua pemain dan Osaka yang berada di ranking ke-22 dunia mula mengorak langkah di set pertama ketika kedudukan terikat 3-3.

Osaka menggunakan kelebihan servisnya untuk menguasai set kedua yang menyaksikan Williams kerap melakukan kesilapan untuk memberi laluan mudah ke pusingan kedua buat lawannya yang lebih muda itu.

Osaka akan bertemu pemain nombor empat dunia, Elina Svitolina dari Ukraine pada pusingan seterusnya.

“Saya amat berdebar-debar ketika turun ke gelanggang,” kata Osaka.

“Saya tidak tahu jika umum mengetahuinya, tetapi Serena adalah pemain kegemaran saya.

“Jadi dapat menentangnya adalah impian bagi saya. Saya gembira dapat bermain dengannya dan ia lebih baik kerana dapat memenanginya.”

Williams, 36, yang beraksi pada perlawanan keempatnya sejak kelahiran bayi pertamanya September lalu, masih mencari rentak permainan sebenarnya dan masih bergelut untuk menguasai gelanggang dengan baik.

Osaka sebaliknya tampil lebih bertenaga walaupun mengharungi tujuh perlawanan di Indian Wells ketika merangkul kejuaraan pertama kariernya Ahad lalu.

Kemenangan Osaka ke atas Williams menyusul selepas beberapa nama besar antaranya bekas juara grand slam Maria Sharapova, pilihan kelima Karolina Pliskova dan pemain nombor satu dunia Simona Halep menjadi mangsa Osaka di Indian Wells. - REUTERS

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 7:02 AM