Reuters

Indian Wells, AS: Maria Sharapova menjadi mangsa kebangkitan Flavia Pennetta yang menangis terisak-isak sebelum kembali tenang dan mengejutkan pilihan kedua itu 3-6, 6-3, 6-2 pada kejohanan Terbuka BNP Paribas, semalam.

Pemain Itali itu, juara bertahan Indian Wells, meninggalkan gelanggang dengan tangisan berikutan kekalahan set pertama.

“Kadang kala wanita mempunyai saat seperti ini. Saya hanya melepaskan semuanya, menjerit... “ kata Flavia. “Saya cuba bernafas dan melepaskan semuanya.”

Apabila Flavia, pilihan ke-15, kembali meraih semula rentaknya, menang 10 daripada 13 permainan terakhir untuk mengatasi juara dua kali Maria dan layak ke suku akhir.

Maria berkata, dia tidak tahu mengenai keadaan Flavia yang melepaskan perasaan sebaliknya bergelut dengan prestasinya sendiri dan pemain Russia itu berakhir dengan 42 ‘unforced errors’ dan 11 ‘double faults’.

“Mungkin saya tidak bermain dengan baik tapi saya tetap kompetitif,” jelas Maria. “Saya hanya tidak mampu bertindak baik pada masa genting.”

Terdahulu, pilihan utama Serena Williams mengatasi permulaan buruk sebelum menundukkan Sloane Stephens 6-7 (3/7), 6-2, 6-2 serta melangkah ke suku akhir.

Serena, beraksi perlawanan ketiga di Indian Wells selepas menamatkan boikot 14 tahun apabila dia dicemuh secara perkauman, meraih banyak sokongan namun lambat menemui rentak.

“Saya tidak berasa perlu hadir ke sini dan menang trofi,” kata Serena. “Saya berasa ini lebih daripada yang saya bayangkan. Saya tidak pernah membayangkan berpeluang untuk kembali.

“Saya berasa saya seorang juara di sini dan saya amat gembira dengan setiap perlawanan yang saya menangi dan setiap keputusan. Semuanya bagaikan satu bonus.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:15 AM