KHADIJAH sewaktu ditemuramah wartawan CNN.
KHADIJAH sewaktu ditemuramah wartawan CNN.
Susunan Siti Salmiah A Hamid


Wanita mungil berusia 25 tahun itu membuka pintu bilik hotelnya selepas bersetuju untuk ditemuramah. Wajahnya ditutup tetapi bahasa tubuhnya menunjukkan dia kegelisahan.

Perlahan-lahan dia membuka niqab, mendedahkan wajah muda dan bermata coklat.

Dia perkenalkan dirinya sebagai Khadijah (bukan nama sebenar), kini menjadi buruan kumpulan Negara Islam (IS) kerana dianggap pembelot.

Melarikan diri ke arah lebih buruk

Sepanjang membesar di Syria, Khadijah mendapat pendidikan secukupnya sehingga menerima ijazah daripada kolej dan mengajar di sekolah rendah.

Khadijah menyertai orang ramai yang me­ngadakan protes aman terhadap kerajaan Presiden Bashar al-Assad ketika pemberontakan di Syria lebih tiga setengah tahun lalu.

"Kami keluar mengadakan demonstrasi dan dikejar pasukan keselamatan. Kami menconteng di dinding dan memiliki pel­bagai pakaian bagi me­ngelak daripada dikenali. Ia sesuatu yang menyeronokkan," katanya.

Apabila pemberontakan di Syria semakin buruk dan keganasan berleluasa, dia mula hilang punca.

"Keadaan sekitar penuh dengan huru-hara. Tentera Pembebasan Syria membuatkan anda kecewa dan mahu mencari sesuatu yang lebih baik.

Dia tertarik dengan tutur kata kenalan dari Tunisia yang dikenalinya dalam talian. Layanan penuh mesra akhirnya beransur-ansur menarik Khadijah menyertai IS.

"Saya mendapat jaminan kumpulan itu bukan pertubuhan pengganas malah kami akan melaksanakan Islam dengan berkesan tetapi peperangan memaksa kita bersikap keras.

"Saya berhubungan de­ngan seorang sepupu dan dia mengajak saya menyertai pasukan Al-Khansaa. Dia kini tinggal di Raqqa bersama suaminya pejuang IS," kata Khadijah.

Al-Khansaa satu pasukan yang digeruni ramai dan mereka adalah polis wanita IS.

Khadijah memujuk keluarganya berpindah ke Raqqa dengan alasan lebih mudah mendaftarkan adik-adiknya di sekolah.

Dengan bantuan sepupunya, Khadijah menyertai pasukan Al-Khansaa yang digeruni itu yang disertai antara 25 hingga 30 wanita dan mereka meronda di jalanan di Raqqa bagi memastikan wanita mematuhi pakaian menutup aurat.

Bermanik atau abaya yang mempunyai bentuk adalah dilarang malah wanita tidak dibenarkan mempamerkan mata mereka atau menghadapi hukuman sebat mengikut peraturan IS dikeluarkan Ummu Hamzah.

"Pertama kali melihat Ummu Hamzah, saya ketakutan kerana dari tubuh­nya yang besar ditemani AK, pistol, cemeti, pisau belati dan niqab, dia bukan wanita normal," katanya.

Khadijah dilatih membersih, menghapus dan menembak dengan senjata api dan dibayar RM652.60 sebulan termasuk bantuan makanan.

Pada mulanya, Khadijah tidak memberi perhatian kepada amaran ibunya kerana tergoda dengan kuasa tetapi akhirnya, dia mula mempersoalkan dirinya dan prinsip IS.

"Ketika permulaan, saya gembira dengan IS kerana mempunyai kuasa di jalanan tapi takut dengan situasi dan diri sendiri.

"Dan, gambaran me­ngenai IS mulai rapuh apabila melihat seorang lelaki dikoyakkan kepala," katanya.

Keganasan terhadap wanita

Lebih mengharukan apabila dia melihat IS membenarkan keganasan ke atas wanita apatah lagi Al-Khansaa berkongsi satu bangunan dengan lelaki.

"Dia antara orang paling teruk," katanya merujuk kepada lelaki yang dipertanggungjawabkan mencari isteri untuk pejuang IS.

"Pejuang asing sangat kejam terhadap wanita yang mereka kahwini malah ada terpaksa dibawa ke wad kecemasan kerana salah laku, keganasan seksual," ujarnya.

Khadijah menyaksikan masa depan yang dia tidak mahu.

Khadijah memutuskan untuk meninggalkan pasukan itu, apatah lagi ketuanya sering mendesak dia mengemukakan permohonan untuk berkahwin.

"Sampai pada satu masa, saya katakan 'cukup­lah' kerana tidak tahan lagi apa yang disaksikan setiap hari. Saya harus meninggalkan semua ini," katanya.

Khadijah meninggalkan Syria beberapa hari sebelum serangan udara tetapi keluarganya masih menetap di sana. Dia diseludup keluar merentasi sempadan ke Turki. Khadijah masih memakai niqab, bukan untuk menyembunyikan identiti dirinya tetapi menyesuaikan dirinya dengan kehidupan di luar IS.

Dia bersedia ditemuramah kerana mahu orang ramai terutama wanita tahu tembelang IS.

"Saya tidak mahu orang lain ditipu kerana terlalu ramai wanita berfikir mereka adalah pengamal agama Islam sejati," katanya.

Dia teringin kembali menjadi gadis sebelum terperangkap dengan penipuan IS.

"Dulu saya gadis yang penuh gelak ketawa, suka mengembara, melukis, berjalan di jalanan sambil mendengar muzik tanpa mempedulikan fikiran orang lain.

"Saya mahu menjadi seperti itu sekali lagi," katanya.-CNN

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:01 AM