KHADIJAH Shamsudin, 31,  graduan universiti tempatan kini tidak kekok mengendalikan traktor membajak sawah di Kampung Gintong. FOTO Roselan Ab Malek
KHADIJAH Shamsudin, 31, graduan universiti tempatan kini tidak kekok mengendalikan traktor membajak sawah di Kampung Gintong. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Jerantut: Serik menunggu lamaran kerja makan gaji, Khadijah Shamsudin, 31, graduan universiti tempatan nekad berkerja sendiri dengan menceburi bidang pertanian.

Pemegang Ijazah Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu berkata, hampir empat tahun dia mencari kerja dalam sektor awam dan swasta, namun tidak membuahkan hasil.

Justeru, gadis dari Kampung Gintong ini, bertekad terjun dalam bidang bidang pertanian dengan mengerjakan tanah sawah yang disewa daripada keluarga terdekatnya.

"Saya tidak menyesal apabila gagal menjadi penjawat awam atau pekerja sektor swasta, lantas bertekad menumpukan bidang pertanian.

"Setiap kali melihat petani membanting tulang, mengerah keringat dan bermain lumpur di sawah kampung ini terdetik di hati saya untuk mencuba bidang ini yang turut mendapat sokongan daripada kedua ibu bapanya" katanya.

Khadijah berkata, dia mengusahakan tanah yang disewa seluas lapan hektar milik keluarga terdekat dengan harapan untuk mencipta lembaran baharu dalam sejarah hidupnya sebagai petani moden.

"Pada hari pertama saya sudah dicabar oleh pesawah di situ yang juga dalam kalangan saudara maranya supaya mengendalikan traktor.

"Saya sahut cabaran mereka dan mula belajar memandu traktor dengan bantuan tunjuk ajar beberapa orang petani, " katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik berkata, berkat tunjuk ajar serta keyakinan, dia mampu mengendalikan jentera berkenaan dalam tempoh seminggu.

saya tidak kekok lagi dan dalam tempoh dua minggu semua kawasan sawah telah selesai dibajak.

"Saya sudah memperoleh kemahiran mengendalikan traktor termasuk jentera pembajak dan kini sedang mempelajari teknik menyembur benih padi MR219 dan seterusnya, menguruskan pengairan, pembajaan dan sehinggalah penuaian hasil padi nanti," katanya.

Katanya, dia tidak kisah dan kekok bermandi peluh dan berlumpur di bawah panas terik matahari apatah lagi takut dengan lintah atau pacat.

Khadijah bercita-cita untuk menjadi petani moden dan ingin menyertai kursus pengurusan tanaman padi persediaan musim penanaman datang.

"Walaupun pernah dihambat rasa kecewa apabila lamaran demi lamaran untuk mendapat pekerjaan ditolak, tetapi sekarang saya cukup gembira," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 3:14 PM