Siva (kiri) menyampaikan hadiah utama kepada Khadijah. FOTO OWEE AH CHUN
Siva (kiri) menyampaikan hadiah utama kepada Khadijah. FOTO OWEE AH CHUN
Sudirman Mohd Tahir


SURIRUMAH, Khadijah Mohd Noor Kamal dinobatkan juara program pertandingan masakan Versus 1001 Rasa Baba’s musim kedua yang ditayangkan di TV3.

Pengumuman dibuat pada majlis penyampaian hadiah program itu di sebuah hotel di Subang Jaya, hari ini.

Kemenangan Khadijah, 39, membolehkannya membawa pulang RM10,000 serta ketuhar gelombang mikro Fargo dan sepasang tiket penerbangan ke Melbourne, Autralia untuk empat hari tiga malam tajaan AirAsia.

Khadijah menewaskan tiga finalis lain iaitu Chef Budiman Bistari selaku pemenang tempat kedua serta Nazura Zainal Abidin dan Muhammad Izwan Ramli yang berkongsi tempat ketiga.

Budiman membawa pulang RM3,000 beserta dua tiket penerbangan ke Hong Kong untuk empat hari tiga malam.

Sementara Nazura dan Izwan masing-masing menerima RM500 serta tiket penerbangan ke Jakarta, Indonesia juga untuk empat hari tiga malam.

Khadijah, ibu anak lima ketika ditemui meluahkan rasa syukur apatah lagi itu kali pertama menyertai pertandingan masakan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan teruja atas kemenangan ini. Sejujurnya, saya tidak menjangka sama sekali boleh menang kerana antara finalis adalah chef.

“Kalau bercakap soal pengalaman, memang tidak ada. Saya cuma memasak di rumah untuk keluarga. Malah, mereka juga tidak menjangka saya boleh menyertai pertandingan ini,” katanya.

Pada peringkat akhir program itu, Khadijah menyediakan tiga menu iaitu Kari Ikan Baba’s dan Tepung Kacang Hijau Baba’s menerusi cabaran Black Box dan Nasi Minyak Beraroma untuk cabaran Inflight Menu.

Hadiah disampaikan Ketua Operasi Baba’s Malaysia Sdn Bhd, K Siva Subramaniam.

Selain itu, turut diadakan penyerahan sumbangan RM1001 kepada tiga badan amal terpilih iaitu Pertubuhan Tranformasi Dayak (TRADA), Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) dan Kelab Bekas Komando Malaysia.

Program menampilkan pengacara Chef Kamarul dan Chef Adu itu bersiaran sebanyak 13 episod bermula pada 22 Mac hingga 19 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 5:43 PM