AP

Beirut: Kumpulan Negara Islam (IS) mendakwa tebusan wanita rakyat Amerika Syarikat (AS) terbunuh dalam serangan udara Jordan Jumaat lalu, namun dinafikan kerajaan Jordan yang menganggapnya sekadar ‘propaganda jenayah.’

Kayla Jean Mueller, 26, satu-satunya tebusan yang masih berada dalam tahanan militan IS, melakukan kerja bantuan di Syria. Dakwaan kematiannnya muncul dalam laman web yang digunakan kumpulan berkenaan, malah turut disebarkan melalui Twitter.

Kayla terbunuh ketika berada di kubu kuat militan itu di Raqqa, utara Syria sekitar waktu tengah hari ketika solat Jumaat dalam serangan udara selama sejam.

IS memuat naik gambar lokasi dibom itu, namun tiada bukti atau imej menunjukkan Kayla terkorban.

Jika benar, Kayla rakyat AS keempat yang terbunuh di Syria. Sebelum ini, wartawan James Foley dan Steven Sotloff serta pekerja bantuan Peter Kassig mati dipancung IS.

Jurucakap kerajaan Jordan Mohammed al-Momani berkata, pihaknya masih menyiasat dakwaan itu.

“Kami menganggapnya tidak logik. Apa pula dilakukan wanita Amerika itu di dalam gudang senjata?

“Kami percaya ia sekadar propaganda jenayah. Bukan kali pertama mereka berbohong - sebelum ini mereka mendakwa juruterbang kami masih hidup malah cuba berunding dengan Jordan sedangkan dia sudah lama dibunuh,” katanya.

Keluarga Kayla meletakkan harapan dia selamat.

“Kamu (IS) mengatakan dia dilayan seperti tetamu, jadi keselamatan dia masih tanggungjawab kamu,” kata kenyataan keluarga itu.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Bernadette Meehan berkata: “Buat masa ini Rumah Putih belum melihat bukti yang menguatkan dkwaan berkenaan.”

Sebelum ini, video pembunuhan kejam juruterbang jordan Muath al-Kasaesbeh yang dikurung dalam sangkar dan dibakar hidup-hidup disebarkan Selasa lalu, sekaligus menaikan kemarahan di Jordan dan negara lain di rantau itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:12 AM