DIARRA pada pelancaran Herbal Asia Exhibition di Pusat Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur.
DIARRA pada pelancaran Herbal Asia Exhibition di Pusat Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur.
Oleh Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Rifjane Empire Enterpris (Rif Jane), pengeluar biskut pretzels berhasrat untuk menerokai pasaran asing menjelang 2015 dengan sasaran nilai jualan mencecah RM90,000 sebulan.

Rif Jane menawarkan biskut pretzels mini yang mempunyai sembilan perisa antaranya coklat, red valvet, royal almond dan strawberi yang ketika ini ia boleh didapati secara atas talian dan diedarkan menerusi stokis di setiap negeri seluruh Malaysia.

Pemiliknya, Diarra Aziz berkata, ketika ini Rif Jane menyasarkan tiga pasaran utama untuk diterokainya pada tahun depan iaitu Singapura, Indonesia dan Brunei memandangkan produknya sudah mempunyai permintaan di negara berkenaan.

Beliau berkata, dalam tempoh kira-kira tiga tahun beroperasi, syarikat berjaya mencatatkan jualan secara purata RM25,000 sebulan dan tahun ini dijangka meningkat kepada RM30,000 sebulan bersandarkan permintaan yang semakin meningkat.

“Kami menawarkan produk makanan yang berkualiti. Dari segi persembahan, ia mempunyai kepelbagaian warna dan berbentuk kecil yang mampu menarik minat pembeli serta rasanya seimbang antara masin serta manis.

“Dari segi penerokaan pasaran tempatan, setakat ini amat memberangsangkan memandangkan ia mudah untuk dibeli secara atas talian walaupun pelanggan di luar Kuala Lumpur,” katanya kepada Bisnes Metro.

Diarra berkata, pihaknya bercadang untuk membuka kilang pengeluaran produk itu yang dijangka mula beroperasi pada Januari 2015 bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan dan asing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:06 AM