Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Permintaan terhadap biskut raya meningkat dua kali ganda walaupun sambutan Aidilfitri tahun ini diraikan sederhana disebabkan Kedah berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Suri rumah Habibah Mustafa, 35, berkata dia bersyukur kerana tempahan kali ini agak mengejutkan walaupun ramai yang tidak dapat pulang ke kampung.

Katanya, tahun ini dia berjaya menyiapkan lebih 500 tempahan membabitkan lapan jenis biskut raya.

"Tahun lalu, saya buat biskut seorang diri saja, tapi tahun ini saya terpaksa mengupah dua rakan untuk membantu bermula dari 8 pagi hingga 2 petang setiap hari.

Habibah menghasilkan kuih raya berikutan permintaan tinggi untuk sambutan hari raya ini walaupun masih PKPP dan turut dibantu dua rakannya bagi menyiapkan tempahan yang banyak setiap hari di rumahnya di Taman Cahaya Suria, Hutan Kampung. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Habibah menghasilkan kuih raya berikutan permintaan tinggi untuk sambutan hari raya ini walaupun masih PKPP dan turut dibantu dua rakannya bagi menyiapkan tempahan yang banyak setiap hari di rumahnya di Taman Cahaya Suria, Hutan Kampung. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

"Antara biskut raya paling mendapat sambutan adalah tart nanas, Almond London, Snow Almond, Kacang Peas, Mazola, Samperit Kastard, Nutella dan Samperit Susu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Hutan Kampung, di sini hari ini.

Ibu empat anak berusia dua hingga 13 tahun itu berkata, pada mulanya dia membuat biksut raya untuk dimakan di rumah, tetapi kini rakan-rakannya pula banyak membuat tempahan.

Katanya, dia mampu menghasilkan 20 bekas biskut raya untuk satu adunan dalam sehari.

"Idea dan resepi saya cari di Internet sebelum diolah dengan ramuan sendiri untuk menghasilkan biskut raya yang gebu dan sedap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 6:08 PM