Ketua Pegawai Eksekutif Canon, Wataru Nishioka (tiga dari kiri) dan Kung (tengah) melancarkan model pencetak terbaru.
Ketua Pegawai Eksekutif Canon, Wataru Nishioka (tiga dari kiri) dan Kung (tengah) melancarkan model pencetak terbaru.
Oleh Hafiz Ithnin

Port Dickson: Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd (Canon) optimis mencatatkan pertumbuhan lima peratus jualan keseluruhan perniagaan percetakan menjelang akhir tahun, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran dalam segmen pencetak inkjet.

Unjuran itu dilihat mampu dicapai dengan pengenalan perkakasan serta komponen operasi percetakan berkualiti dan mampu milik kepada pengguna walaupun industri menyaksikan penguncupan lima peratus tahun ini.

Penolong Pengarah Bahagian Sistem Produk Konsumernya, Jeffrey Kung berkata, hasil pengenalan komponen operasi percetakan seperti katrij dakwat yang mampu memberi penjimatan serta menghasilkan cetakan berkualiti meningkatkan segmen perniagaan Canon di Malaysia, tahun ini.

Beliau berkata, syarikat akan terus memperkenalkan model pencetak yang mempunyai ciri dikehendaki pengguna sama ada dalam segmen enterpris mahupun pengguna biasa.

“Perniagaan percetakan Canon di Malaysia menunjukkan prestasi jualan memberangsangkan apabila mencatatkan penguasaan pasaran 51 peratus dalam segmen inkjet dan 34 peratus laser.

“Segmen percetakan turut menyumbang 40 peratus daripada RM630 juta nilai jualan keseluruhan produk Canon setakat ini,” katanya.

Pada majlis itu, Canon memperkenalkan lapan pencetak daripada tiga model berbeza iaitu Pixma semua dalam satu, Pixma dakwat efisyen dan kegunaan pejabat di rumah atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang boleh didapati di pasaran Disember ini dengan harga antara RM350 hingga RM1,840 seunit.

Jeffrey berkata, prestasi jualan produk kamera Canon tahun ini menyaksikan penurunan jualan 18 peratus dan pihaknya bakal melaksanakan pelbagai kempen promosi kepada pengguna.

“Penurunan jualan dalam segmen kamera memberi kesan langsung kepada nilai jualan keseluruhan tahun ini berbanding RM660 juta pada 2014,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 7:08 AM