FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
BERNAMA

AIDILFITRI dijangka disambut pada 5 Jun nanti, namun kedatangannya sudah mula dirasai terutama bagi pengusaha dan peniaga biskut raya yang menerima banyak tempahan sempena menyambut hari lebaran itu.

Menurut pengusaha makanan dari Desa Sungai Kob, di Kulim, Sepiah Hasan, 49, walaupun baru membuka tempahan sejak beberapa hari lalu, banyak permintaan sudah diterima daripada pelanggan yang mahu membuat persiapan awal untuk 1 Syawal.

“Memang kebiasaannya saya akan membuka tempahan sebulan sebelum puasa dan membuat iklan menerusi Facebook dan menghantar sampel biskut raya kepada bakal pelanggan untuk mereka merasainya sebelum membuat tempahan.

“Syukur, baru beberapa hari buka tempahan biskut raya, sudah ada pelanggan yang tempah untuk dijadikan hidangan pada hari raya nanti terutamanya ‘almond london’ dan ‘tat nanas’,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya, di sini.

Sepiah berkata, pada tahun ini dia menawarkan sebanyak lapan jenis biskut raya dan setakat ini sudah menyiapkan hampir 3,000 biji yang ditempah pelanggannya.

Bagi Syaffa Rizza Sulaiman, 32, yang berpengalaman hampir 10 tahun membuat biskut raya pula berkata, sudah menjadi kelaziman baginya untuk menerima tempahan awal daripada pelanggan dan ia lebih menguntungkan.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman lalu tempahan awal membolehkan dia menyiapkan biskut raya mengikut tarikh yang dikehendaki pelanggan dan pelanggan yang berpuas hati tidak keberatan membayar harga yang ditetapkan.

“Kalau guna kaedah ini, peniaga lebih untung tak perlu alami kerugian kerana pelanggan yang membuat tempahan pasti akan bayar mengikut jumlah yang mereka mahukan,” katanya.

Sementara itu, pembeli biskut raya Siti Sarah Yusoff, 36, berkata, dia sering menempah biskut raya seawal mungkin bagi mengelakkan kegagalan mendapatkan biskut raya yang diidamkan.

“Kalau lambat buat tempahan pasti tak dapat, kerana kebiasaannya kuota sudah penuh, kalau bernasib baik dapat juga sebalang dua itu pun lebihan biskut sahaja,” katanya yang membelanjakan sekitar RM400 hingga RM500 setiap tahun untuk biskut raya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 10:44 AM