PELBAGAI menu lain turut disediakan di Warung Klasik.
PELBAGAI menu lain turut disediakan di Warung Klasik.
Oleh Syahid Sokri


Kedah yang dikenali sebagai Negeri Jelapang Padi pastinya sinonim dengan makanan tradisi pek nga atau lempeng kelapa yang dipadankan dengan kari ikan kembung selain pulut kelapa ikan kering, dimakan ketika panas.

Dulu, makanan ini menjadi pembuka selera terutama dalam kalangan pesawah padi bagi mendapatkan tenaga.

Kini, idea itu digunakan Abdul Jamal Hamzah, 56, atau Pak Tam dan isteri, Sofiah Ibrahim, 48, atau Mak Tam untuk menjalankan perniagaan Warung Klasik di Kampung Padang Lalang, Jalan Putra, Alor Janggus, Alor Setar.

Pada peringkat awal, pasa-ngan suami isteri itu hanya mahu mencuba memperkenalkan makanan tradisi itu kepada orang ramai, selain konsep rumah tradisional Kedah yang dilengkapi ukiran kayu, tetapi tidak menyangka ia menerima sambutan baik.

Sofiah berkata, mereka memulakan perniagaan lempeng kelapa dan pulut kelapa ikan masin sejak 2010 selepas mendapat idea daripada suaminya kerana ia menjadi makanan rutin sarapan pagi keluarga itu.

Atas persepakatan, mereka memulakan perniagaan secara berperingkat dengan semua struktur binaan kedai dilakukan suaminya.

"Saya mempunyai resepi tersendiri menghasilkan pek nga ini kerana ia adalah warisan turun-temurun daripada arwah ibu mentua sejak 20 tahun lalu kerana ketika itu suami begitu cerewet mengenai hidangan.

"Akhirnya, saya tidak menyangka resipi warisan sebagai penyeri kehidupan berkeluarga mampu digunakan untuk perniagaan dan menjadi sumber pendapatan," katanya.

Menurutnya, kelapa untuk membuat lempeng perlu diambil daripada buah yang masak bukan kelapa tua kerana isinya lebih banyak selain berlemak.

Katanya, cara bancuhan tepung juga mempengaruhi kualiti lempeng iaitu tepung besar yang perlu diadun sempurna sehingga mesra supaya tidak berketul-ketul.

"Lempeng kelapa ini mempunyai cara membakar tersendiri, tidak sama seperti membakar roti canai kerana kita akan merenjis minyak menggunakan daun pandan bagi memastikan lempeng masak sempurna, garing dan lembut.

"Saya menyediakan enam kilogram tepung setiap hari bersama 30 kelapa," katanya.

Selain lempeng kelapa, antara yang menjadi kunci rahsia tarikan pelanggan di gerainya ialah kari ikan kembung yang sentiasa menjadi tumpuan pelanggan.

Kari ikan kembung dicicah untuk dimakan bersama lempeng kelapa dan ada pelanggan datang untuk membeli kari ikan kembung semata-mata untuk dimakan bersama pulut dan nasi putih.

"Saya mempunyai resepi tersendiri menyediakan kari ikan kembung, selain ikan segar, saya mencampurkan kari yang dipanaskan bersama kari baru.

"Orang Kedah panggil 'gulai perangat' dan kari jenis ini antara kesukaan pelanggan kerana pekat dan lebih berperisa, malah sesuai untuk dicicah bersama lempeng kelapa dan lempeng pisang," katanya.

Jika anda mahu menikmati lempeng kelapa, pastikan datang awal kerana seawal jam 12 tengah hari ada pelanggan pulang dengan kekecewaan kerana kehabisan makanan.

"Harga satu set lempeng kelapa dan kari ikan kembung ialah RM3 dan pulut kelapa ikan masin mengikut jenis ikan masin.

"Selain makanan yang enak, ramai pelanggan datang untuk menikmati suasana sawah padi dan konsep ukiran kayu tradisional Kedah," katanya.

Pelanggan, Muhammad Muzzaffar Mohamad, 58, berkata, pekerjaan sebagai pesawah membuatkan dia biasa makan lempeng kelapa dan pulut kelapa ikan kering setiap pagi.

"Memang sedap hidangan yang disediakan kerana jarang peniaga yang menjual pulut dan lempeng di kawasan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:02 AM