RONI (tiga dari kanan) dan isteri, Mazlin Diana (dua dari kiri) bersama kru restorannya.
RONI (tiga dari kanan) dan isteri, Mazlin Diana (dua dari kiri) bersama kru restorannya.
Nurul Husna Mahmud

Lempeng kelapa ialah sajian biasa dinikmati untuk sarapan atau bersama minuman petang. Tekstur lempeng lembut yang mengandungi kelapa parut enak dicicah bersama sambal tumis ikan bilis atau susu pekat.

Biarpun dilihat sebagai hidangan popular di kampung, ia sukar ditemui di restoran biasa. Namun, peminatnya boleh menjengah Warong Kampung Sungai Pinang di Klang, Selangor yang diusahakan Roni Nurizwan dan pasangannya, Mazlin Diana Mohd Mokhtar bagi menikmatinya.

Kata Roni, lempeng kepala adalah antara juadah paling digemari pelanggannya selain pilihan roti lain seperti roti tisu dan roti canai sebagai sajian minum petang.

“Kami ada pelanggan tetap yang menikmati lempeng kelapa setiap petang. Pada hujung minggu pula ada pelanggan yang datang dari luar Klang atau Selangor semata-mata untuk menikmati lempeng kelapa.

“Sesuai dengan nama restoran kami iaitu Warong Kampung Sungai Pinang, lempeng kelapa antara menu utama yang kami tawarkan mampu mengubati kerinduan terhadap hidangan kampung berkenaan,” katanya.

LEMPENG kelapa hidangan paling popular.
LEMPENG kelapa hidangan paling popular.

Kata Roni lagi, restorannya yang mula beroperasi jam 3 petang hingga 3 pagi, menawarkan konsep restoran ala medan selera dan kepelbagaian pilihan ditawarkan mampu memenuhi selera pengunjung seisi keluarga.

“Restoran kami boleh dikatakan mesra pengunjung khususnya yang datang berkeluarga. Lihat saja senarai menu kami ada hampir 100 pilihan baik hidangan panas seperti ‘kuetiau seafood’, bihun kungfu special hinggalah makanan Barat seperti ‘chicken chop’ yang dibekalkan oleh bekas juruhebah Hot Fm, Keiran.

“Dari segi harga untuk setiap hidangan boleh dikatakan alah dengan kualiti dan saiz hidangan kami tawarkan. Kami sentiasa memperbaharui menu agar dapat memenuhi selera dan ‘trend’ pengunjung,” katanya.

MENU terbaru kuetiau seafood.
MENU terbaru kuetiau seafood.

Jelas Diana pula, dia dan suami sentiasa kreatif dengan pilihan menu di restorannya. Dia mengakui, mereka berdua sering berkunjung ke restoran lain bagi mendapat ilham menu terbaru sesuai dengan selera pelanggan.

“Mengenai menu restoran ini, ada sebahagian yang kami tetapkan dan ada juga menu bermusim yang mana ditawarkan kerana ‘viral’. Pendek kata hidangan kami berubah dari semasa ke semasa.

“Sebagai contoh, kuetiau seafood antara terbaru apabila menampilkan sotong sebagai tarikan serta tidak lupa minuman dan sajian pencuci mulut seperti teh tarik buih dan jagung.

“Untuk penggemar pencuci mulut, saya sarankan mereka mencuba cendol mangga selain pelbagai pilihan ais kisar. Restoran kami secara asasnya menekankan konsep relaks, lepak dan santai selain dilengkapi kemudahan Wi-fi percuma,” katanya.

CENDOL istimewa apabila menampilkan mangga.
CENDOL istimewa apabila menampilkan mangga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 4:32 AM