PELBAGAI hidangan Thailand yang menyelerakan.
PELBAGAI hidangan Thailand yang menyelerakan.
TOK yam kung pilihan utama penggemar sup pedas.
TOK yam kung pilihan utama penggemar sup pedas.
PULUT mangga antara manisan Thailand yang cukup digemari.
PULUT mangga antara manisan Thailand yang cukup digemari.
Suliati Asri


Keenakan makanan negara Thailand sememangnya antara masakan popular di dunia. Bagi penggemar makanan pedas, keunikan masakan seperti pad Thai (mi beras dimasak dengan asam jawa dan sos ikan) serta tod mun (kek ikan) sudah pasti akan memenuhi cita rasa anda.

Untuk merasai sendiri pelbagai makanan Thai yang ikonik ini, jangan lepaskan peluang menikmati hidangan terbaik Thai di Restoran Coffee Terrace, Hotel Genting Grand dari 7 hingga 16 April sempena Festival Songkran.

Festival Songkran dirai setiap tahun menandakan sambutan Tahun Baru Tradisional Thailand dan penduduknya akan bergembira meraikannya dengan pesta air dan parti jalanan yang akan berlangsung selama seminggu.

Biarpun tiada sambutan pesta air di Restoran Coffee Terrace, kepelbagaian pilihan hidangan paling popular dari Thailand pastinya mengujakan.

Menampilkan kedua-dua hidangan pedas dan sederhana dari utara dan selatan Thailand, hida­ngan bufet Songkran ini terdiri daripada masakan paling popular negara itu dan pengunjung boleh menikmati makanan de­ngan tahap kepedasan.

Masakan paling sedap Thailand datang dari bahagian timur laut atau kawasan barat Sungai Mekong dikenali sebagai Isan, manakala hidangan kari terkenal berasal dari wilayah tengah dan selatan negara tersebut.

Buat anda yang gemarkan masakan kari sebenar, kari hijau atau merah pasti memberikan kepuasan. Bagi yang tidak tahan pedas dan inginkan sesuatu yang sederhana boleh memilih kari massaman.

Begitu juga dengan kebanyakan hidangan tomyam yang sememangnya pedas tetapi pe­ngunjung boleh mencuba tom kha gai (tomyam ayam dengan santan kelapa), pasti kena dengan selera yang lebih sederhana.

Terdapat dua menu dihidangkan secara bergilir-gilir apabila pilihan pertama terdiri daripada pembuka selera seperti kek ikan thai, biskut beras bersama ayam daun selasih, kerabu diraja thai, ayam pandan thai dan satay ayam thai.

Buat mereka yang gemarkan kerabu, ulam dan sayuran, kerabu betik muda dengan udang kering, kerabu makanan laut bersama suun, kerabu ayam thai, kerabu kaki ayam (tanpa tulang), kerabu mangga thai, cendawan campur dengan taucu gaya thai serta kailan ikan masin dan cili segar antara pilihannya.

Pilihan wajib tomyam pula terdiri daripada tom yam merah udang dan tomyam putih makanan laut.

Hidang utama pula termasuk kari merah ayam dengan terung, udang goreng bersama suun, kari kuning diraja dengan ketam goreng,ikan stim berserai dan limau, kari daging mutsamun, kambing goreng lada hitam bersama bawang putih, nasi goreng nanas, laksa thai dan pad thai.

Selepas puas menikmati masakan pedas, sesuatu yang sejuk dan manis wajib dirasai. Pengunjung boleh memilih juadah seperti pulut mangga, sengkuang cina bersantan, puding ubi kayu thai, cendol thai dan buah-buahan. Pilihan minuman pula anda boleh memilih sama ada teh serai dan air kelapa ataupun kopi serta teh.

Menu kedua tidak kurang hebatnya dan menjanjikan nilai untuk wang. Pembuka selera, kerabu, sup dan pencuci mulut adalah sama seperti menu yang lain, tetapi hidangan utama terdapat perbezaan dengan pilihan terdiri daripada kari hijau ayam, kari ketam goreng thai, kari itik panggang, udang goreng thai daun selasih, kari kambing panang, ikan pedas masam, otak-otak makanan laut, nasi goreng udang, sup bihun herba dan pad thai.

Pilihan sayur-sayuran pula ialah terung goreng dengan tapai kacang thai dan isi udang serta kailan ikan masin bersama cili segar.

Untuk menikmati pilihan menu bufet yang mengujakan ini, hidangan disajikan dari jam 12 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Isnin hingga Jumaat dengan harga RM44 dewasa dan RM22 kanak-kanak.

Pada hujung minggu (Sabtu, Ahad dan malam cuti umum), ia dijual pada harga RM50 dewasa dan RM25 kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 11:08 AM