KETAM masak cili dengan kuah banyak enak dimakan bersama roti mantou panas.
KETAM masak cili dengan kuah banyak enak dimakan bersama roti mantou panas.
Zaitie Satibi


Satu kegemaran rakyat Malaysia ketika menjamu selera adalah menikmati makanan yang banyak kuah atau ‘banjir’.

Malah, ada yang tidak segan-silu meminta kuah tambah kerana mahu menghirupnya.

Bagi penggemar makanan yang banyak kuah, mereka wajib datang ke 4PLAY Seafood & Co di pusat beli-belah Publika di ibu negara kerana masakan berasaskan makanan laut seperti ketam masak lemak cili dan kepah masak kari hijau menepati kehendak mereka.

Terlalu banyak kuah dihidangkan bersama makanan laut terpilih dan pasti memuaskan hati penggemar makanan tanpa perlu meminta kuah tambahan.

Selain hidangan enak dimakan begitu saja, tambahan roti mantou digoreng panas-panas dicicah bersama kuah melengkapkan rasa.

Pegawai Pemasarannya, Dynas Mokhtar berkata, restoran yang baru dibuka penghujung tahun lalu menyajikan menu fusion berasaskan makanan laut yang enak.

“Terdapat lebih 10 pilihan menu terbaik untuk pelanggan. Antara menu mendapat permintaan tinggi adalah ketam masak lemak cili.

“Kami menggunakan ketam segar dengan kuah yang banyak untuk dimakan bersama roti mantou kosong.

“Keistimewaan hidangan ini adalah penyepit ketam siap diketuk supaya pelanggan tidak perlu memecahkan kulitnya yang keras,” katanya.

Menu lain dihidangkan ialah kepah masak cili, udang goreng telur masin, salad ketam lembut, kupang sumbat bayam dan spageti udang pedas.

Restoran berkenaan mampu menempatkan 150 orang dalam satu-satu masa dan lokasi yang sesuai untuk penganjuran majlis korporat serta acara keraian bersama keluarga dan rakan.

Suasana santai diiringi alunan muzik pastinya melekakan pelanggan sedang menikmati hidangan di situ terutama mereka yang selesai membeli-belah di premis niaga berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 2:11 AM