KOMBINASI pulut, kelapa, sambal dan ikan masin membuka selera.
KOMBINASI pulut, kelapa, sambal dan ikan masin membuka selera.
BUBUR kacang dan pengat pisang pelengkap sarapan.
BUBUR kacang dan pengat pisang pelengkap sarapan.
UBI kayu enak dimakan dengan sambal dan kelapa.
UBI kayu enak dimakan dengan sambal dan kelapa.
PEKNGA dimakan bersama kari ikan atau daging.
PEKNGA dimakan bersama kari ikan atau daging.
SHARIFAH Kalsom menunjukkan pelbagai hidangan tradisi di Desa Corner.
SHARIFAH Kalsom menunjukkan pelbagai hidangan tradisi di Desa Corner.
Rodly Fadly

Sesekali menukar selera, tidak menjamah nasi lemak atau roti canai sebaliknya kembali kepada sarapan tradisi seperti lempeng, ubi kayu rebus, pulut, pisang rebus, bubur kacang dan pengat pisang sudah tentu menggamit rasa.

Malah, bagi generasi X yang membesar di kampung, hidangan sarapan tradisi ini pasti mengembalikan kenangan pada zaman kanak-kanak. Itulah yang ditonjolkan Desa Corner di Taman Bersatu, Nibong Tebal, Pulau Pinang yang menghidangkan pelbagai sarapan ala kampung.

Ternyata, makanan tradisi ini masih mendapat tempat di hati masyarakat apabila kedai berkenaan dipenuhi pelanggan setiap pagi. Bukan sahaja ia menjadi tumpuan generasi lama, malah turut menarik golongan muda yang semakin menggemari makanan tradisi.

Walaupun menghidangkan pelbagai makanan, namun lempeng kelapa antara daya tarikan utama yang menggamit ramai pengunjung ke Desa Corner itu.

Ini kerana lempeng kelapa atau di utara lebih dikenali sebagai ‘peknga’ yang dihidangkan di sini masih mengekalkan keasliannya.

Kombinasi tepung dan isi kelapa tanpa penggunaan bahan penaik membuatkan peknga di sini benar-benar asli serta menepati cita rasa.

Ia boleh dimakan begitu saja dan lebih enak jika dipadankan dengan kari ikan atau daging. Malah tidak kurang enaknya jika dimakan bersama sambal tumis ikan bilis.

Ada juga yang menikmatinya dengan susu pekat manis atau gula, bergantung pada selera masing-masing.

Bagi yang menggemari peknga pisang pula, anda juga pasti tidak kecewa untuk menikmatinya di sini kerana lebih terasa keasliannya berbanding di tempat lain yang menjadikan pisang sekadar ‘syarat.’

Selain itu, turut membuka selera adalah ubi kayu rebus yang dihidangkan bersama sambal dan kelapa. Lebih membuat kita kecur air liur apabila ia dilengkapkan dengan ikan masin. Kombinasi pedas, lemak dan masin ini sangat serasi. Memang terangkat!

Hidangan pulut turut menjadi pilihan pelanggan. Lazimnya ia dimakan dengan ikan masin, kelapa dan sambal tumis. Namun, ada juga yang menggabungkan pulut dengan bubur kacang atau pengat pisang.

Pisang rebus melengkapkan hidangan tradisi di Desa Corner. Lazimnya ia dimakan dengan kelapa parut.

Selain makanan tradisi, terdapat juga sarapan seperti nasi lemak, mi goreng, bihun goreng, nasi goreng, soto, lontong dan kuih muih. Variasi makanan ini memberi banyak pilihan kepada pelanggan yang beragam cita rasa.

Menurut pemilik Desa Corner, Sharifah Kalsom Syed Ahmad, sejak memulakan perniagaan pada tahun 2005, beliau memfokuskan kepada makanan yang berkonsepkan selera kampung bagi memberi pilihan kepada pelanggannya.

“Sesuai dengan nama Desa Corner, saya mahu memartabatkan semula makanan tradisi kita yang semakin dilupakan. Kalau ada pun yang mengusahakan, saya dapati kebanyakan hanya menumpang nama sesuatu jenis makanan padahal rasanya tidak menepati rasa sebenar makanan berkenaan.

“Selain itu, terdapat banyak perniagaan kedai makan di sekitar Nibong Tebal terutama restoran India Muslim dan makanan Thai. Jadi, selain mencari kelainan saya mahu memberi alternatif kepada masyarakat setempat.

“Saya yakin, makanan zaman generasi lama seperti peknga, ubi kayu rebus, pulut, pengat pisang dan beberapa makanan masih ada penggemar terutama mereka yang membesar di kampung pada zaman 1950-an hingga 1970-an.

“Tapi, apa yang menarik, sejak beroperasi, pelanggan bukan saja terdiri daripada golongan lama malah ada generasi baru yang ingin mencuba makanan tradisi kita. Ternyata semua makanan berkenaan masih sesuai dengan tekak anak muda dan tidak lapuk ditelan zaman.

“Antara yang menjadi kegemaran pelanggan adalah peknga, ubi kayu dan pulut ikan masin. Pelanggan saya juga bukan sekadar orang tempatan malah ada yang sejauh dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Selalunya, mereka singgah bersarapan atau makan tengah hari di sini ketika dalam perjalanan ke sesuatu destinasi di sekitar utara,” ujar Sharifah Kalsom.

Selain sarapan, Desa Corner juga menyediakan juadah tengah hari ala kampung seperti gulai kawah, sambal tumis petai, asam pedas, kari ikan serta ulam-ulaman. Selain enak, harga makanan di kedai ini sangat berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 1:32 PM