Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Perbuatan yang jijik itu mencemarkan nama baik Islam dan prinsip perundangannya,” tegas Datuk Seri Najib Razak berikutan tindakan militan Daulah Islamiyah (IS) yang didakwa memenggal kepala tebusan dari Amerika Syarikat.

Perdana Menteri berkata, sehubungan itu Malaysia mengutuk sekeras-sekerasnya kekejaman kumpulan militan terbabit ke atas Peter Kassig termasuk ke atas tentera Syria.

Beliau berkata demikian di laman blog peribadinya, NajibRazak.com semalam.

Kassig atau nama Islamnya Abdul Rahman Kassig adalah bekas anggota tentera Renjer Amerika Syarikat (AS) yang baru memeluk Islam.

Mangsa berada di Syria sebagai sukarelawan misi kemanusiaan.

Beliau adalah tebusan orang Barat kelima dan ketiga dari AS yang dibunuh oleh militan IS.

Berdasarkan rakaman video yang disebarkan kelmarin, ia tidak menunjukkan situasi semasa kepala Kassig dipenggal sebaliknya yang dipertontonkan ialah kepala mangsa yang sudah dipenggal bergolek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:12 AM