AP

Amman: Jordan semalam menggesa semua pihak bersepakat memerangi kumpulan pengganas Negara Islam (IS) sambil mengisytiharkan “syaitan itu boleh dan mesti dikalahkan.”

Pemimpin Hamas di Jordan, Hammam Saeed, pula menegaskan gerakan Islam itu tidak ada kaitan sama sekali dengan IS.

Selepas melawat waris juruterbang tentera udara Jordan yang dibakar hidup-hidup oleh IS, Hammam berkata, lebih baik Amman menarik diri daripada tentera bersekutu diketuai Amerika Syarikat menyerang Syria.

“Kita tidak ada hubungan dengan perang ini,” katanya.

Jurucakap kerajaan, Mohammed al-Momani berkata, komuniti antarabangsa mesti bekerjasama menumpaskan militan IS.

“Jordan percaya syaitan itu boleh dikalahkan,” katanya.

Sejak minggu lalu, Amman diminta membebaskan seorang wanita pengebom berani mati dari Iraq jika mahu Left Muath al-Kasasbeh yang ditawan IS dibebaskan.

Bagaimanapun, Amman enggan mengikut kehendak IS selagi militan terbabit tidak menunjukkan bukti Muath masih hidup.

Kelmarin IS menerbitkan klip video menunjukkan Muath dikurung dalam kandang sebelum dibakar hidup-hidup.

Penganalisis percaya, kejadian itu berlaku lebih awal tetapi hanya didedahkan kelmarin.

Kemarahan orang ramai juga memuncak sejak itu, termasuk di kalangan ulama yang menganggap IS tersalah percaturan.

Sheikh Abdullah al-Muhaysni berkata, selepas jutaan orang menyumpah juruterbang tentera yang menyerang kedudukan IS, tindakan militan itu ke atas Muath menukar keadaan sebaliknya.

“IS menjadikan juruterbang itu suatu simbol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 7:40 AM