Kuala Lumpur: Lima pemain negara mengalami nasib berbeza pada saingan hari ketiga Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank 2015 di Kelab Golf dan Country Kuala Lumpur (KLGCC), Bukit Kiara semalam.

Pemain utama Danny Chia mengetuai cabaran Malaysia berada pada tangga ke-13 dan berkongsi kedudukan bersama Marc Warren (Scotland), Prom Meesawat (Thailand) serta dua pemain Korea Selatan, Jeunghun Wang dan Sunghoon Kang dengan 210 pukulan keseluruhan.

Danny mencatat enam birdie tetapi tiga bogey yang turut dilakukannya menyaksikan dia mencatat 69 pukulan semalam.

Ranking ke-429 dunia itu merakam birdie pada lubang dua, lima dan tujuh diikuti tiga lagi pada lubang ke-10, 14 dan lubang terakhir.

Bogey dicatat di lubang ketiga, 12 dan 16 sekali gus menjejaskan tumpuan Danny yang bermain baik apabila membuat 67 pukulan pada hari pertama dan 74 kelmarin.

Sementara itu, Sukree Othman berada pada kedudukan ke-38 dengan 70 pukulan manakala Gavin Green (73) menghuni tangga ke-47.

Dua lagi pemain, Nicholas Fung berada di tangga ke-58 (218) dan R Nachimuthu (220) menduduki tangga ke-70 dalam kalangan 74 pemain yang melepasi cut kelmarin.

“Setiap kali bermain, saya akan cuba melakukan terbaik. Tiga bogey bukanlah satu perkara menggembirakan mana-mana pemain golf apabila berada dalam kejohanan kompetitif,” kata Danny.

Sementara itu, Anirban Lahiri muncul pemain terbaik Asia apabila memberi saingan sengit menempatkan dirinya dalam kedudukan lima teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:04 AM