DANNY
DANNY
Hamdan Saaid

Rio de Janeiro: Nasib berbeza dialami dua pemain golf negara apabila Danny Chia mencatat satu bawah par 70 manakala Gavin Kyle Green merudum dengan tiga atas par 74 pada pusingan kedua Olimpik Rio, semalam.

Keputusan itu menyaksikan Danny meningkat ke tangga 37, berkongsi kedudukan dengan enam pemain lain dan Gavin pula berkongsi tangga ke-51 dengan dua pemain.

Danny, 43, membenam tiga birdie di lubang ketiga, lima dan 10 namun dua bogey di lubang 7 dan 15 menjejaskan rentaknya.

Dia mengumpul satu atas par 143 keseluruhan, sama catatan dengan David Hearn (Kanada), Yuta Ikeda (Jepun), Scott Hend (Australia), Ryan Fox (New Zealand), Adilson Da Silva (Brazil) dan Li Haotong (China).

“Danny bermain lebih baik pada sesi pagi sekalipun hujan renyai, cuaca berangin dan sejuk,” ujar pengurus skuad negara Vincent Wong.

“Pada sembilan lubang kedua dia cuba menyerang tapi jelas dia tidak bertuah kerana pukulan putt sering tidak menjadi. Gavin agak bermasalah di lubang awal tapi dia berjaya mengatasinya selepas itu.”

Gavin yang mengumpul lima atas par 147 keseluruhan selepas separuh saingan, mencatat double bogey di lubang kedua serta bogey lubang ketiga, empat, 11 dan 12. Dia membenam tiga birdie di lubang pertama, sembilan dan 16.

Dia berkongsi tangga ke-51 bersama pemain Afrika Selatan Brandon Stone dan juara Terbuka Malaysia tahun lalu, Anirban Lahiri dari India.

Kedua-duanya meneruskan saingan pusingan ketiga malam ini kerana 60 pemain mengambil bahagian dan format tiada ‘cut-off’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 5:27 AM