Miami, AS: Pemain Britain Charley Hull (gambar), yang tidak pernah memenangi sebarang kejohahan sejak lebih dua tahun lalu, mencatat enam bawah par 66 untuk mendahului satu pukulan selepas pusingan ketiga Kejohanan Jelajah LPGA.

Pemain berusia 20 tahun dari England itu mencatat birdie pada empat lubang par lima iaitu lubang pertama, keenam, ke-14 dan 17 serta lubang ke-10 dan 13 yang menawarkan par 4 dalam aksi bebas bogey untuk mengumpul 13 bawah par 201 keseluruhan selepas 54 lubang pada kejohanan akhir musim.

“Saya cuba berada di dalam zon itu,” kata Charley.

“Saya rasa seperti memukulnya dengan sederhana. Beberapa pukulan putt saya memasuki lubang dan bermain seperti yang saya inginkan.”

Pemain Amerika Syarikat Brittany Lincicome turut melakukan 66 pukulan di Tiburon Golf Club untuk berada di tangga kedua dengan 204 pukulan bersama pemain Korea Selatan Ryu So Yeon yang melakukan 69 pukulan di Naples, Florida.

Pemain nombor satu dunia dari New Zealand Lydia Ko berpeluang berkongsi kedudukan pendahulu dengan birdie pada lubang terakhir tetapi mencatat bogey untuk menamatkan pusingan dengan 73 pukulan dan berkongsi tangga keempat dengan 205 pukulan bersama pemain Korea Selatan Chun In Gee, pemain Thailand Ariya Jutanugarn dan dua pemain AS Jennifer Song and Lizette Salas.

“Ia tidak terlalu jauh. Saya harap dapat merapatkan jurang dan kembali mendapatkan semangat itu,” ujar Lydia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 5:20 AM