Hujung minggu lalu, bukan main seronok lagi kawan Sha yang bertugas sebagai jururawat bercerita dia terserempak dengan penyanyi kesukaannya, Anuar Zain di tempatnya bekerja.

Apabila keluar minum petang dengan Sha, itulah cerita yang keluar dari mulut. Tak lekang nama Anuar dari mulutnya.

Katanya, pada 13 November lalu Anuar menziarah pesakit jantung di wad. Memang terujalah kakitangan hospital, begitu juga keluarga pesakit. Sha pun bertanya pengurusan Anuar dan mereka mengesahkan perkara itu.

Kata pengurusannya, Anuar akan menjayakan persembahan majlis makan malam sempena ulang tahun kedua Pusat Jantung Kanak-kanak Kongenital Institut Jantung Negara (IJN PCHC) pada 5 Disember ini.

Persembahan yang bakal berlangsung di Hotel Majestic, Kuala Lumpur itu bertujuan mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak serta keluarga dan penjaga yang ada masalah jantung.

Sha difahamkan, IJN turut melancarkan Kumpulan sokongan PCHC yang dinaungi isteri bekas Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali. Ia akan dianggotai sukarelawan yang bertindak sebagai rangkaian sokongan dalam kalangan ibu bapa dan kanak-kanak yang menghidap sakit jantung.

Anuar berharap program ini mendapat sokongan pelbagai pihak dan mereka yang berminat menyumbang sambil menonton persembahannya boleh mendapatkan tiket di www.ticketcharge.com.my.

Usaha murni Anuar wajar dipuji dan marilah sama-sama kita menyokong projek ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:03 AM