Seram sejuk pula bila dengar perihal perangai selebriti ini. Kalau ikutkan, dari dulu macam-­macam cerita pelik mengenainya pernah Sha dengar.

Lihat luaran seperti tak ada apa-apa yang mencurigakan. Dia nampak normal seperti orang lain, bahkan perilaku serta tutur katanya tenang saja.

Namun di sebalik ketenangan itu, jiwanya sentiasa bergelora bak Lautan Hindi. Emosinya mudah turun naik serta tidak menentu, bahkan hanya yang rapat tahu perkara itu.

Khabarnya, keadaan makin kronik hingga menakutkan orang di sekelilingnya. Malah ada teman bercerita, selebriti ini gemarkan perhatian.

Jika berasakan dirinya terpinggir, dia akan mencipta drama demi drama. Antara yang dikongsi teman ini, ketika menghadiri sesi latihan satu persembahan, satu ketika dulu.

Dia menghubungi rakan yang kebetulan mengajar kelas vokal supaya membantunya. Kononnya dia mahukan tip vokal dan macam-macam lagi bimbingan. Dari nada suara kedengaran sangat terdesak, rakan itu segera memandu ke lokasi berkenaan. Tidak sampai hati pula membiarkan selebriti itu kerana mereka sudah lama rapat.

Bagaimanapun, difahamkan apabila sampai, selebriti ini langsung tidak mempedulikan kehadiran rakannya. Seolah-olah dia tidak pernah menyuruh rakannya datang dan mereka seperti tidak pernah kenal.

Terpinga-pingalah rakan itu. Datang jauh, meredah kesesakan lalu lintas, tiba-tiba orang buat bodoh. Mahu tak terbakar hati.

Apabila menyedari dirinya tidak diperlukan, rakan itu pun segera pulang. Tahulah dia selebriti itu hanya mahukan perhatian. Drama sungguh.

Khabarnya sikap itu masih terbawa-bawa hingga ke hari ini. Payahlah nak buang sebab sudah sebati dengan diri dan ramai menjadi mangsa drama tagih perhatiannya.

Dengarnya ada drama besar akan berlaku dalam waktu terdekat dan ramai meramal perkara itu boleh buat dia ‘naik hantu’. Takutlah!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:04 AM