KUALA LUMPUR: Pelumba sensasi muda negara, Muizzuddin Musyaffa Abdul Ghafar hanya mampu menghuni tempat ke-23 daripada 34 pelumba pada pusingan pembukaan Piala Juara-Juara pada Siri Go-Kart Dunia (WSK) di La Conca, Itali, semalam.

Faktor hujan lebat dan cuaca sejuk serendah lapan darjah Celcius menjejaskan prestasi pelumba pasukan Gamoto Racing itu dalam saingan kategori Remaja KF melibatkan pelumba terbaik dunia berusia antara 13 dan 15 tahun itu.

Antara yang terjejas akibat faktor cuaca ialah pelumba Rusia, Artem Petrov dan pelumba China, Fei Ye Yi, yang bersama-sama dengan Muizzuddin menduduki tiga tangga teratas pada perlumbaan Piala Jemputan Musim Sejuk Vega di Litar Adria di Veneto, utara Itali, dua minggu lepas.

Menurut kenyataan Gamoto Racing hari ini, Petrov gagal ke pusingan final manakala Ye Yi menamatkan perlumbaan di tangga ke-17.

Perlumbaan kategori itu dimenangi oleh pelumba Denmark, Christian Lundgaard diikuti pelumba Brazil, Felipe Drugovich dan tempat ketiga oleh pelumba Amerika Syarikat, Logan Sargeant.

Pengurus Muizzuddin, Salvatore Gotti, berkata, pelumba berusia 12 tahun itu banyak kali terbabas dalam keadaan cuaca hujan dan perlu meningkatkan usaha sebelum menghadapi pusingan kedua di litar sama, hujung minggu ini.

Bagaimanapun, ketika pusingan kelayakan di trek yang kering, katanya Muizzuddin menampilkan persembahan terpuji dengan menghuni tangga kelapan keseluruhan dengan masa 47.938 saat pada trek sejauh 1.25km.

Walaupun gagal bermula pada saringan pertama, Muizzuddin menduduki tangga ketujuh pada saringan kedua dan ketiga dalam cuaca kering sebelum hujan pada saringan keempat menyebabkan kedudukannya merosot kepada tangga ke-14.

"Ini adalah satu pengajaran berguna untuk beliau kerana perlumbaan ini adalah kedua dalam kategori baru musim ini. Berdasarkan catatan masa pada sesi latihan, beliau mampu memberi saingan kepada pelumba handalan yang sudah memasuki musim kedua dan ketiga," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 12:00 AM