KUCHING: Dua lagi pusat pemindahan banjir di Sarawak ditutup petang ini selepas penutupan pusat di Balai Raya Skim Skrang, Engkilili, Sri Aman pagi tadi.

Dengan perkembangan terbaru itu, setakat 8 malam ini terdapat hanya 159 orang mangsa banjir masih berada di dua pusat pemindahan, iaitu 96 orang daripada 19 keluarga di Dewan Panglima Rentap, Betong dan 63 orang daripada 20 keluarga di Dewan Masyarakat Pakan, Sarikei.

Dua pusat yang ditutup petang tadi ialah di Dewan Perpaduan Debak yang menempatkan 126 mangsa dan pusat pemindahan di Rumah Henry Lubok Banga, Ulu Krian yang menempatkan 75 orang.

Jurucakap Bilik Gerakan Bencana Banjir Bahagian Betong Sebi Abang berkata, bilangan mangsa yang dipindahkan ke Dewan Panglima Rentap, Betong bagaimanapun bertambah kepada 96 daripada 19 keluarga.

Katanya, mangsa-mangsa yang ditempatkan di Dewan Panglima Rentap adalah dari Rumah Anjie Mupoh, Baroh, Spak, Betong, yang rumah panjang mereka tidak selamat diduduki akibat keadaan tanah yang tidak kukuh. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 8:46 PM