BOMBA bersama penduduk kampung melakukan pencarian sebelum mayat mangsa ditemui. FOTO IHSAN JBPM SARAWAK
BOMBA bersama penduduk kampung melakukan pencarian sebelum mayat mangsa ditemui. FOTO IHSAN JBPM SARAWAK
Garret Dawum


SEORANG lelaki warga emas kurang daya ingatan ditemui mati selepas dua hari dilaporkan hilang oleh keluarganya.

Mayat mangsa, Jam Jayan, 63, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 3.27 petang di kebun getah Sungai Spak, Betong, semalam, kira-kira empat kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, laporan kehilangan diterima pihaknya pada jam 9.55 malam, Selasa lalu.

“Enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong segera ke lokasi dengan pencarian turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

“Selepas dua hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dengan dibahagi kepada dua kumpulan membabitkan pencarian di darat dan sungai, mangsa akhirnya ditemui dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jurucakap berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan jam 4.10 petang.

Terdahulu, menurut jurucakap, ahli keluarga mangsa berasal dari Rumah Panjang Anji, Spak, Betong memaklumkan Jam hilang dari rumah pada 6 Jun lalu.

“Adik mangsa hanya membuat laporan polis di Balai Polis Betong lima hari kemudian selepas usaha mencari di sekitar rumah panjang gagal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 3:18 PM