KENDERAAN mangsa terjatuh ke dalam runtuhan jalan di Ulu Spak.
KENDERAAN mangsa terjatuh ke dalam runtuhan jalan di Ulu Spak.
Mohd Roji Kawi


SEORANG wanita dan dua anaknya menempuh detik mencemaskan apabila kereta dinaiki terjatuh ke dalam runtuhan jalan di Ulu Spak, Betong, pagi tadi.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu berlaku ketika mangsa, Marylin Usin, 20-an, menghantar dua anaknya, Mizchelyana Daisy, 7, dan Matthiuz Danniel, 5, ke sekolah.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, wanita terbabit serta dua anaknya berjaya keluar dari kenderaan tanpa sebarang kecederaan.

“Jalan berkenaan dipercayai runtuh ketika hujan lebat malam tadi menyebabkan laluan terputus sepenuhnya dan tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.

“Tiga sekeluarga yang terjatuh dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter itu awal pagi tadi bernasib baik apabila hanya kenderaan mereka yang mengalami kerosakan,” katanya.

Ismail berkata, pemantauan mendapati jalan berkenaan masih dalam risiko untuk berlakunya tanah runtuh susulan.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihati berhati-hati dan menggunakan laluan alternatif untuk keluar dari Ulu Spak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 5:45 PM