ANGGOTA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) membuat pemantauan banjir di Sibu.
ANGGOTA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) membuat pemantauan banjir di Sibu.

Kuching: Keadaan banjir yang belum reda di Betong mengakibatkan dua jalan masih ditutup akibat tanah runtuh di Kilometer 14 , Jalan Sarikei-Julau dan Rumah Panjang Mupoh Baruh, Layar.

Bagaimanapun, jalan ke Rumah Panjang Empati di Jalan Sarikei-Pakan yang ditutup sejak Ahad lalu selepas dinaiki air hampir satu meter sudah dibuka semula, semalam apabila paras air surut serta selamat dilalui semua jenis kenderaan.

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di negeri itu menunjukkan penurunan kepada 857 mangsa setakat petang semalam, berbanding 1,217 yang dicatatkan, kelmarin.

Sehingga jam 6 petang, hanya tiga pusat pemindahan yang masih dibuka, iaitu Dewan Panglima Rentap di Betong, Sekolah Kebangsaan (SK) Baoh Ulu di Dalat dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tong Ah, Sibu.

Pusat pemindahan Rumah Panjang Watson di Selangau yang menempatkan mangsa banjir dari Rumah Gamang, Banyoi dan Dian, ditutup jam 10 malam, kelmarin.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata, pusat pemindahan SJK Tong Ah di Sibu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 656 membabitkan 166 keluarga dari Rumah Belayong, Pasang, Ngumbang, Halen Dauh dan Kampung Keranji Engkabang.

Menurutnya, pusat pemindahan di Dewan Panglima Rentap, Betong pula menempatkan 151 mangsa daripada 31 keluarga dari Rumah Anji, Mupoh Baruh, manakala SK Baoh Ulu di Dalat pula menempatkan 50 mangsa membabitkan 31 keluarga dari Rumah Simu, Sungai Baoh Burak.

“Secara keseluruhan keadaan banjir di negeri ini semakin terkawal, namun hujan lebat di beberapa kawasan menyebabkan langkah berjaga-jaga terus diambil,” katanya, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 6:56 AM