KUCHING: Sebaik sahaja bahagian Sibu menutup pusat pemindahan banjirnya yang terakhir di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tong Ah di Selangau pagi ini, kawasan Lundu (kira-kira 70km dari sini) pula mengalami hujan lebat, menjadikan jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Sarawak kini meningkat kepada 196 orang, berbanding 151 tengah hari tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata sebuah pusat pemindahan banjir dibuka di Balai Raya Kampung Poan di Lundu, 1 petang hari ini menempatkan 45 mangsa banjir daripada 12 keluarga.

Bagaimanapun menurutnya, air sudah mulai surut secara perlahan di kawasan berkenaan dan sekiranya hujan tidak berlarutan sehingga lewat petang ini keadaan dijangka pulih dengan segera.

Katanya di bahagian Betong keadaan masih sama dengan dua pusat pemindahan dibuka untuk dua penghuni rumah panjang berjumlah 151 orang yang tidak dapat kembali ke rumah masing-masing ekoran keadaan rumah mereka didapati tidak selamat apabila strukturnya dikatakan rosak akibat banjir dan tanah runtuh.

Beliau berkata, selagi pejabat residen tidak dapat menyediakan penempatan sementara buat penghuni rumah panjang Rh Ali Krangan di Saratok, dan Rh Mupoh Baruh di Betong, mereka akan ditempatkan sementara di pusat pemindahan banjir yang disediakan.

Sementara itu, Jabatan Pertahanan Awam Sarawak ketika dihubungi memaklumkan 12 kampung di sekitar Lundu terjejas akibat banjir ekoran hujan lebat secara mendadak pagi ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 5:49 PM