Phillip Island: Juara dunia, Marc Marquez (gambar) dari Sepanyol meraih petak depan untuk berkongsi kedudukan bersama Cal Crutchlow dan Jorge Lorenzo untuk saingan MotoGP Grand Prix Australia, hari ini.

Marquez, yang meraih gelaran juara dunia musim 2014 minggu lalu selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang Lorenzo di Jepun, mencatat masa 1 minit 28.408 saat bersama Honda, mengatasi pencabar terdekat dengan 0.234 saat di sirkit Phillip Island sepanjang 4.5-kilometer.

Crutchlow dari Britain, yang menunggang jentera pasukan Ducati dan pelumba Sepanyol, Lorenzo, memacu Yamaha, memastikan tiga pengeluar itu mempunyai wakil untuk bermula di barisan depan untuk perlumbaan 27 pusingan itu.

Podium juara untuk Marquez pada perlumbaan hari ini akan menyamai rekod pelumba Australia, Mick Doohan dengan 12 kemenangan untuk semusim dalam perlumbaan MotoGP.

Pelumba Sepanyol itu berpendapat menyamai pencapaian Doohan di litarnya sendiri tepat pada masanya malah membuatkan dia lebih merendah diri.

"Australia negaranya dan sudah tentu menarik untuk melakukannya," kata Marquez.

"Saya akan mengambil risiko untuk memenangi perlumbaan. Rekod sentiasa amat penting terutamanya apabila orang membandingkan anda dengan legenda."

Ia adalah petak utama Marquez untuk kali ke-12 musim ini, sekali gus menyamai rekod petak utama MotoGP untuk semusim. -AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:00 AM