Johor Bahru: “Kelahiran anak sulung bagaikan memberi inspirasi untuk beraksi cemerlang pada aksi suku akhir kedua.”

Itu luahan kegembiraan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Safiq Rahim (gambar) apabila mencipta dua gol bagi memastikan skuad itu melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu 3-2 secara agregat.

Namun Safiq tidak mahu dianggap wira untuk memastikan kemenangan skuad Harimau Selatan itu sebaliknya berkata, kerjasama sepasukan dibentuk jurulatih Bojan Hodak selain memperoleh cahaya mata, Muhammad Zafiq Zayyan pada 26 September lalu, memberi keyakinan kepadanya untuk beraksi cemerlang.

“Kerjasama sepasukan kunci utama kejayaan kami dan saya tidak anggap diri saya wira kerana jika rakan sepasukan, Mohd Nazrin Nawi dan Norshahrul Idlan Talaha tidak mengumpan bola pasti saya tidak menjaringkan gol.

“Kami mengikut arahan taktikal diterapkan jurulatih tanpa memberi ruang kepada pasukan lawan mengatur serangan dan kami juga berjaya kurangkan kesilapan sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya

Sementara itu Hodak berkata, kemenangan skuad Harimau Selatan itu memberi lebih keyakinan kepada pemain untuk berdepan FELDA United pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Selayang, Isnin ini.

Katanya, kelibat Norshahrul Idhlan yang masuk menggantikan Jorge Pereya Diaz pada minit ke-70 mengubah corak permainan Johor DT yang tampak agak tertekan selepas Terengganu merapatkan jurang gol 2-1.

“Apabila Terengganu menjaringkan gol, saya lihat pemain Johor DT tertekan dan ketika itu kelibat Norshahrul menggelecek tiga pemain lawan sebelum mengumpan kepada Safiq meledakkan gol beri keceriaan.

“Kini kami ada tempoh tiga hari untuk membuat persiapan separuh akhir dan latihan dijalankan seperti biasa. Saya mahu pemain tidak berada dalam tekanan sebaliknya kekal fokus untuk aksi seterusnya,” kata Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:07 AM