Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Bojan Hodak menepis tanggapan skuadnya tidak memiliki perancang utama yang didakwa menjejaskan prestasi pasukan itu.

Malah, Hodak berkata, kelibat kapten Safiq Rahim dan Hariss Harun sentiasa menjalankan tugas menjana gerakan berbahaya dengan mengumpan bola kepada barisan serangan Johor DT.

Katanya, kedua-dua pemain itu akan diberi peranan penting bagi memastikan Johor DT tidak keciciran mata berdepan Sarawak di Stadium Larkin, malam ini.

“Tidak betul apabila sesetengah pihak mendakwa Johor DT tidak memiliki pemain tengah yang dianggap ‘jeneral padang’ dan ingin saya katakan gandingan Safiq dan Hariss cukup berkesan.

“Mereka memainkan peranan penting melakukan gerakan berbahaya menjana serangan dan hanya ketumpulan barisan serangan masih belum menemui sentuhan penyudah.

“Kita sering kuasai perlawanan, tetapi apabila berdepan situasi menjaringkan gol, peluang terhidang terlepas begitu sahaja dan saya mahu penyerang kembali tajam apabila berdepan Sarawak,” katanya.

Hodak bagaimanapun akur Sarawak sukar untuk ditewaskan dan pemain skuad Harimau Selatan tidak bersikap ambil mudah pada pertembungan itu.

Katanya, kemenangan amat penting buat Johor DT bagi mengelak keciciran mata dengan kesempatan beraksi di laman sendiri tidak harus dilepaskan.

“Pertemuan ini sukar walaupun kami beraksi di laman sendiri. Meskipun Sarawak bukan pasukan yang memiliki skil, tetapi mereka mampu membuat kejutan jika pemain bersikap sambil lewa,” kata Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 4:39 AM