AFP

London: Pengurus Manchester United Louis van Gaal tidak mempedulikan kekecewaan dilahirkan penyokong kelab itu ketika pasukannya menang 2-0 di Queens Park Rangers dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Van Gaal mendengar buat kali pertama rungutan penyokong United menjelang tamat babak pertama yang hambar di Loftus Road kelmarin apabila mereka menyatakan tidak gembira dengan formasi 3-5-2 dengan meneriak: “4-4-2!”

Van Gaal memasukkan Marouane Fellaini pada awal babak kedua sebelum mengubah formasinya dan tindakan itu berbaloi dengan Fellaini meletakkan United di depan sebelum pemain gantian James Wilson menambah gol kedua.

United menamatkan perlawanan itu sama mata dengan pasukan tangga ketiga Southampton dan Van Gaal berkata: “Apabila menang, setiap orang gembira dan berasa selesa.

“Kami perlu mengubah posisi. Pemain perlu melakukannya tepat pada masanya menentang lawan yang tepat dan ia satu minggu amat sukar.

“Ia sesuatu yang kami perlu putuskan setiap minggu, bagaimana kami bermain. Dengan sistem lain menentang Tottenham (ketika seri 0-0), kami mencipta enam atau tujuh peluang pada babak pertama, tapi gagal menjaringkan gol.

“Persoalannya sama ada anda benar-benar efektif. Dalam bola sepak, tidak semestinya pasukan beraksi lebih bagus akan menang.”

Di sebalik keputusan itu, United jelas banyak melakukan kesilapan namun Fellaini dan Wilson menjadi penyelamat selepas Radamel Falcao mensia-siakan banyak peluang.

Digugurkan ketika kalah 0-1 di laman sendiri kepada Southampton minggu lalu, penyerang pinjaman dari Monaco itu dicabar Van Gaal supaya membuktikan kehebatannya jika mahukan kontrak jangka panjang.

Kecederaan buku lali Robin van Persie membuka peluang buat pemain kebangsaan Colombia itu di Loftus Road dan sekalipun gagal menyumbang gol, Van Gaal mempertahankan persembahannya.

“Dia mahu menjaringkan gol dan saya perlu menilai bagaimana dia bermain,” ujar pengendali dari Belanda itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 6:51 AM