VAN Persie (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
VAN Persie (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
AFP

Manchester: Pengurus Manchester United Louis van Gaal tetap menerima kembali Darren Fletcher ke Old Trafford jika perpindahan pemain kebangsaan Scotland itu ke West Ham tidak berjaya sebaik tempoh perpindahan pemain ditutup.

Pengurus West Ham Sam Allardyce kelmarin mengumumkan, perjanjian itu dilihat sukar untuk mencapai persetujuan sama ada pemain veteran United itu akan berpindah secara pinjaman atau tetap.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku,” kata Van Gaal selepas menyaksikan pasukannya menewaskan pasukan bawahan Leicester, 3-1 di Old Trafford untuk melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.

“Bila anda membenarkan pemain ke London untuk pemeriksaan perubatan dan tanpa sebarang masalah kemudian perjanjian itu gagal ia sesuatu yang pelik.

“Saya mahu bantu Fletcher dan itu keutamaan saya. Sebagai pengurus saya sangat gembira apabila dia kembali.

“Dia kapten pilihan ketiga saya, tapi kerana saingan dalam pasukan ini dia tidak mendapat banyak peluang bermain. Kerana itu saya mahu membantunya.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku di sana. Semuanya berjalan lancar Jumaat lalu, namun kemudian pada Sabtu perjanjian itu batal.”

Van Gaal amat gembira dengan persembahan United apabila jaringan babak pertama Robin van Persie, Radamel Falcao dan gol sendiri Wes Morgan membolehkan mereka selesa mendahului sebelum Marcin Wasilewski menghasilkan gol sagu hati lewat permainan.

Selepas menyaksikan United mensia-siakan kelebihan jaringan 2-0 sebelum tumpas 3-5 dalam perlawanan di Leicester September lalu, Van Gaal puas hati dengan cara anak buahnya menamatkan cabaran pasukan lawan pada babak kedua.

“Saya mengarahkan pemain supaya beraksi dalam satu pasukan pada setiap detik permainan,” kata pengurus United itu.

“Bukan hanya penguasaan bola, tapi ketika lawan mendapat bola. Saya harus memuji aksi pasukan saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 6:06 AM