London: Empat kemenangan berturut-turut membantu Manchester United melonjak ke tangga keempat Liga Perdana dan pengurus Louis van Gaal mula menampakkan hasilnya selepas permulaan sukar.

Sekalipun kemenangan di laman sendiri ke atas Crystal Palace, Hull City dan Stoke City tidak begitu menggemparkan di Old Trafford, kemenangan bergaya ke atas Arsenal menunjukkan tanda-tanda semangat sepasukan jitu seperti ketika era Alex Ferguson di kelab itu.

Van Gaal berjaya mengatasi masalah kecederaan yang memaksanya menurunkan barisan pertahanan kurang mantap dalam hampir setiap perlawanan dan kebangkitan United banyak dibantu kehebatan Marouane Fellaini (gambar) dan Ashley Young.

Fellaini yang dibeli ketika di bawah pengurus lama David Moyes dan kurang disenangi di kelab itu menjadi tonggak utama bahagian tengah Van Gaal dan dia menggunakan kelebihan fizikalnya dengan efektif.

Dia menjaringkan satu gol menakjubkan di West Bromwich Albion, gol sulungnya buat United manakala tandukan kencangnya ke penjuru gol membuka tirai jaringan menentang Stoke.

“Bagus bagi meningkatkan keyakinan dengan menjaringkan gol,” katanya.

“Ia satu hantaran silang yang bagus, satu kombinasi hebat dan ia memang bagus. Saya berasa agak letih ketika permulaan untuk bermain setiap perlawanan, tapi saya perlu berehat dan bekerja keras semula.

“Kami mengenali satu sama lain dengan lebih baik dan kenal dengan pengurus dan staf,” ujar Fellaini.

“Kami juga tahu falsafah pengurus. Kami berlatih dengan gigih dan perlu meneruskannya. Memang bagus menang empat perlawanan berturut-turut. Kami perlu terus begini.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 8:17 AM