Dia ini baru lagi bergelar artis dan mungkin dia belum tahu ‘hukum-hakam’ untuk menjadi seorang anak seni.

‘Peraturan’ untuk menjadi anak seni bukan setakat minat berlakon tetapi mereka kena bersiap sedia dari segi mental dan fizikal antaranya termasuklah kena belajar terima hakikat bukan semua orang akan suka dengan kita.

Kadang-kadang duduk sebelah menyebelah saja tetapi ada yang langsung tidak menegurnya. Nak dijadikan cerita, suatu hari rakan SS dan beberapa rakan media lain pergi ke lokasi penggambaran artis itu kerana mereka dijemput pengarah drama itu untuk membuat liputan.

Ramailah pelakon berada di set termasuklah pelakon yang baru nak bertapak ini.

Setibanya di set, penampilan artis itu macam rupa wanita dalam pantang dengan rambut basah dan kusut masai. Secalit gincu pun tiada di bibir. Jadi semestinya, media tak perasan yang dia salah seorang pelakon drama itu.

Apabila diadakan sesi fotografi, mereka pilih pelakon lain dan khabarnya artis baru itu ‘sentap’ atau terasa hati.

Kru yang buat air untuk produksi itu nampak lebih bergaya. Sebab itulah kalau nak jadi artis, kena bersedia dari segala sudut.

Sehingga selesai sesi fotografi langsung tiada siapa mempedulikannya. Jadi, kepada artis itu anggaplah ia satu pengalaman berharga dan lain kali kalau tak tahu bertanya.

Untuk berjaya jangan ‘berat mulut’. Pengarah drama itu pun tidak boleh buat apa-apa kerana kalau dah datang macam orang gila meroyan, nak dirakamkan gambarnya macam mana?

SS: Bergaya seadanya sesuai majlis dan usia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 11:47 AM