MIERA jelaskan kehadiran anak menteri pada majlis dihadirinya sekadar kebetulan.
MIERA jelaskan kehadiran anak menteri pada majlis dihadirinya sekadar kebetulan.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Meskipun penampilannya tidak sekerap dulu, nama Miera Liyana, 22, tetap menjadi sebutan apabila dikatakan menjalin hubungan cinta dengan anak seorang menteri.

Perkhabaran itu pantas tersebar apabila Miera dan jejaka terbabit kerap dilihat bersama menghadiri acara hiburan.

Ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Diandra Couture, baru-baru ini, Miera mengakui sudah setahun berkawan rapat dengan jejaka itu, namun belum sampai ke tahap bercinta.

“Walaupun jawapan saya ini klise, tetapi itulah hakikatnya. Saya sudah melalui banyak episod duka dalam percintaan, fokus saya sekarang hanya pada kerjaya,” katanya.

Menurut pelakon Memori Cinta Suraya ini, perkenalannya dengan anak menteri itu bermula ketika dia membintangi telefilem terbitan syarikat jejaka berkenaan.

“Sepanjang perkenalan, baru dua kali saya berlakon di bawah syarikat produksi miliknya. Jadi tak timbul isu saya ambil kesempatan kerana saya mengenalinya selepas berlakon dengan produksinya.

“Dia sangat baik dan peramah. Sebab itulah saya selesa berkawan dengannya. Saya pun bebas berkawan dengan sesiapa sahaja dan dia tidak berhak menghalang atau mengongkong,” katanya.

Kehadiran jejaka itu bagi menemani Miera pada majlis pertunjukan fesyen Diadra Couture baru-baru ini seakan-akan mengesahkan lagi hubungan mereka.

Pada majlis itu Miera adalah ‘muse’ bagi acara Night of Dignity: Diandra Comeback yang memperkenalkan koleksi pakaian terbaru untuk lelaki dan wanita selepas pereka itu menyepi sebelum ini.

“Jangan salah faham, kehadirannya pun secara kebetulan. Dia mahu mencari pereka baju. Kebetulan saya berada di majlis ini lalu mengajaknya sekali,” kata Miera.

Menyentuh perihal karier, kata Miera dia berehat selama dua bulan selepas selesai menjalani penggambaran drama 137 episod, Memori Cinta Suraya.

“Walaupun melakonkan watak antagonis, saya dapat maklum balas baik daripada penonton.

“Berlakon dalam telenovela ini sangat berbaloi meskipun penggambarannya mengambil masa selama setahun. Sekurang-kurangnya penonton dapat menyaksikan lakonan saya lebih lama,” katanya.

Disebabkan terikat dengan projek itu, Miera mendedahkan terpaksa menolak 30 tawaran lain.

“Ini kali pertama saya menjayakan projek drama yang panjang. Saya seronok dan puas dapat berlakon dalam Memori Cinta Suraya. Daripada situ saya boleh lihat kredibiliti saya sebagai pelakon.

“Hampir 30 tawaran terpaksa saya tolak, tetapi mujur semua produksi terbabit faham jadual saya. Insya-Allah saya akan kembali menjalani penggambaran tidak lama lagi,” katanya yang akan mengacarakan program travelog Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 12:16 PM